Maaf Gabriel, tak boleh bagi no.4 tapi mungkin dapat nombor dipakai dua ex-kapten

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gabriel Magalhaes akan menjadi pemain kedua menyertai Arsenal bagi saingan musim baru ini di mana dia dilaporkan bersetuju menandatangani kontrak selama lima tahun bersama the gunners.

Kehadiran Gabriel Magalhaes, yang dipancing dari Lille dengan bayaran perpindahan sekitar £27 juta dijangka menjadi tonik terbaik bagi benteng pertahanan skuad bimbingan Mikel Arteta itu yang cukup goyah sejak beberapa musim kebelakangan.

Dia dilaporkan akan menandatangani kontrak dalam minggu ini dan pengumuman mengenai kemasukannya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Kejayaan mendapatkan tandatangan pemain kidal dari Brazil itu, bermakna Arsenal kini mempunyai dua pertahanan meningkat naik dan dilabel antara pemain muda terbaik di Eropah termasuklah William Saliba.

William Saliba yang dipinjamkan ke Saint-Etienne pada kempen musim lalu telah kembali ke Emirates dan sudahpun menyertai latihan pra-musim.

Di kala dua pemain itu bakal memperkasa benteng Arsenal, Gabriel Magalhaes bagaimanapun tidak akan dapat memakai jersi nombor 4 idamannya yang akan dipakai oleh William Saliba bagi musim baru.

Jersi no.4 sebelum ini dipakai oleh Patrick Vieira, Cesc Fabregas dan pada musim lalu dipakai Mohamed Elneny.

Namun Gabriel berpotensi dihadiahkan nombor jersi azimat, nombor 6 yang sebelum ini dipakai dua bekas kapten – Tony Adams dan Laurent Koscielny.

No.6 masih tidak ada pemilik selepas Koscielny berpindah ke Bordeaux dan ia pastinya akan menjadi penghormatan besar buat Gabriel untuk menyarung nombor sama yang pernah dipakai oleh nama besar di Arsenal.

Sementara itu, tumpuan ketika ini adalah mengenai siapa yang akan disingkirkan memandangkan Mikel Arteta mempunyai enam lagi pertahanan tengah dalam kelibat David Luiz, Rob Holding, Calum Chambers, Shkodran Mustafi, Pablo Mari dan Sokratis Papasthatopolous.

Chambers, Sokratis dan Mari ketika ini tersisih kerana kecederaan dan ketiga-tiga mereka dijangka terlepas aksi permulaan musim.

Kedudukan Chambers bagaimanapun menjadi teka-teki kerana Fulham dilaporkan berminat menyambar pemain itu, tatkala Mustafi dan Sokratis pula memasuki tahun terakhir kontrak mereka dan Arsenal sudah tentu sedia melepaskan dua pemain itu jika ada tawaran yang datang.

Terdahulu, Arsenal berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah Willian dari Chelsea.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.