“Maaf Malaysia, Saya Telah Kecewakan Anda Semua” – Tangisan Lee Zii Jia

Lee Zii Jia
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Maaf Malaysia, saya telah kecewakan anda semua,” demikian reaksi penuh sebak pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia selepas langkahannya di Sukan Olimpik 2020 tersekat di pusingan kedua.

Walaupun Lee Zii Jia membuat penampilan pertama di pentas Olimpik, ramai mengharapkan pemain itu dapat melangkah jauh malah turut diletakkan sebagai prospek pingat emas pertama kontijen negara.

Begitupun dia terpaksa akur dengan kehebatan penyandang pingat emas yang juga pemain pilihan dari China, Chen Long dalam pertarungan tiga set.

“Sekarang ini lockdown, ramai yang tidak boleh keluar atau pergi ke mana-mana, setiap hari tengok televisyen dan beri sokongan kepada kami semua atlet yang beraksi di Sukan Olimpik.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan pingat seperti diharapkan,” katanya selepas perlawanan di Mushashino Forest Sport Plaza.

Pada perlawanan itu, Lee Zii Jia bermula cemerlang di set pertama dengan kemenangan 21-8, namun tumpas 19-21 di set kedua sebelum hilang tumpuan pada set penentuan apabila kecundang 5-21.

Juara All England 2021 itu mengakui hanya pengalaman yang menjadi pemisah ketara antara dia pemain ranking keenam dunia itu.

“Pada set pertama, saya menguasai keseluruhan permainan. Tetapi pada set kedua, saya banyak membuang mata dan cuba mengejar untuk mendapatkan mata bagi meraih kemenangan penting itu tetapi gagal.

“Bermula set ketiga, saya hilang fokus. Dalam situasi itu, Chen Long dengan pengalamannya dapat mengawal keadaan. Saya tidak menyesal, tiada alasan, banyak lagi yang perlu saya belajar dan perjalanan karier saya masih panjang.

“Saya sudah cuba yang terdaya dan walaupun keputusan tidak bagus sangat tetapi tetap satu pengalaman yang bagus untuk saya. Seperti yang saya katakan, ini Olimpik pertama saya, dan saya perlu banyak berusaha dan benar-benar bersedia pada kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

Kekalahan Lee Zii Jia bermakna Malaysia tidak ada penyumbang pingat dari acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik buat kali pertama selepas 13 tahun (3 edisi Olimpik).

Sebelum ini jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan pingat perak dalam tiga edisi berturut-turut di Beijing 2008, London 2012 dan Rio De Janeiro 2016.

Foto ehsan : Majlis Sukan Negara/Annice Lyn

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.