Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang juga pemangku ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner mendedahkan Selangor tidak akan ‘menyimpan’ pemain-pemain berstatus senior bagi saingan musim baru Liga Malaysia.
Pemain pertahanan berdarah kacukan Malaysia-England, Nicholas Ryan Swirad adalah salah seorang daripada sekurang-kurangnya lima pemain yang akan digugurkan, malah pemain-pemain ini juga tidak akan digunakan dalam saingan Piala Malaysia yang bermula pada bulan November nanti
Menurut Feichtenbeiner, ini bertujuan bagi membuka ruang kepada pemain muda dari Selangor II untuk ‘dinaikkan pangkat’ ke skuad utama seterusnya menyuntik nafas baru kepada skuad Red Giants yang akan dibarisi lebih 70 peratus tenaga muda pada 2021.
“Ya, Nick (Swirad) merupakan salah seorang pemain yang tiada dalam perancangan kami musim depan. Dia tidak akan bermain dalam Piala Malaysia.
“Buat masa ini, ada beberapa pemain yang sudah diberitahu bahawa mereka tiada dalam perancangan saya kerana kami memerlukan ruang untuk pemain muda.
“Jika kesemua pemain yang sudah berumur masih ada dalam pasukan, ditambah pula dengan enam atau tujuh pemain baru, anda akan memiliki terlalu banyak pemain dalam pasukan, jadi ia (penyingkiran) perlu dilakukan.
“Kami sudah berbincang dengan mereka, pihak pengurusan sudah berbincang dengan pemain dan mencapai persetujuan bersama, jadi saya fikir kami sudah mendapatkan penyelesaian terbaik buat semua pihak.
“Sudah pasti pemain yang terlibat berasa kecewa tetapi dalam bola sepak, adakalanya perkara seperti ini tidak boleh dielakkan,” kata Feichtenbeiner dalam satu temuramah disiarkan Astro Arena.
Belum ada gambaran jelas siapa pemain senior lain akan disingkirkan tetapi difahamkan antara yang akan turut mengucapkan selamat tinggal adalah Farizal Harun (34 tahun) dan Khyril Muhymeen Zambri (33 tahun).
Sebagai rekod, antara pemain lain berstatus senior dalam pasukan Selangor adalah Rufino Segovia (35 tahun); Sandro Mendonca (37 tahun); Brendan Gan (32 tahun); Syazwan Zainon (31 tahun); Norhakim Hassan, Wan Zack Haikal dan K.Prabhakaran (29 tahun).
Sebelum ini, Feichtenbeiner telah memberi peluang kepada deretan pemain muda untuk tampil di dalam saingan Liga Super yang melabuhkan tirainya pada 10 Oktober lalu, termasuklah Zikri Khalili, Azrin Rusmini, Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal Lau, Anwar Ibrahim dan Zahril Zabri.
Kesemua pemain itu adalah dalam lingkungan usia 18 hingga 21 tahun.
Foto : Selangor FA