Macam Ini Barulah Melaka United!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Zainal Abidin Hassan merupakan individu paling gembira selepas Melaka United mengejutkan Kedah Darul Aman dalam aksi kedua Piala Malaysia pada Khamis.

Turun sebagai underdog, Melaka United bangkit daripada ketinggalan 0-1 menerusi jaringan minit ketujuh Kpah Sherman untuk melakar kemenangan 3-1.

Manuel Ott menjaringkan dua gol manakala satu lagi oleh Sony Norde untuk memastikan Melaka United melakar kemenangan kedua selepas terdahulu menewaskan Negeri Sembilan pada Isnin lalu.

“Kami membuat kerja rumah selepas 22 perlawanan Liga Super dan menganalisa kembali masalah pasukan terhadap apa jua sebarang kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan setiap pemain.

“Saya berasa bersyukur kerana persiapan dua minggu sebelum TM Piala Malaysia ini, dapat membuktikan banyak perbezaan kepada Melaka United setakat ini dan harap situasi ini dapat berterusan.

“Disiplin mereka meningkat terutama di aspek bertahan kerana sebelum ini kami sering melepaskan gol-gol yang terlalu mudah dan nampaknya mereka telah mempelajari daripada kesilapan-kesilapan serta menunjukkan semangat pasukan yang begitu baik.

“Dua kemenangan ini cukup penting kerana akan berikan keyakinan serta semangat yang tinggi kepada pemain namun saya tidak katakan Melaka United sudah selamat untuk ke suku akhir kerana masih ada empat perlawanan lagi dalam peringkat kumpulan,” kata Zainal Abidin.

Kemenangan ini juga yang pertama buat Melaka United ke atas Kedah sejak 2019 setelah mereka tewas dalam empat pertembungan terakhir termasuk dua aksi Liga Super, musim ini.

Melaka United kini selesa di tangga teratas dengan enam mata diikuti Kedah dengan tiga mata.

Sebelum ini Zainal Abidin memberitahu harapannya adalah mahu membawa Melaka United mara ke final Piala Malaysia buat pertama kali kerana menurutnya ia akan menjadi pencapaian terindah dalam karier seseorang pemain.

Malah beliau sendiri pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali sebagai pemain dan sekali sebagai jurulatih ketika bersama Pahang pada 2014.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.