Macam mana KL United boleh main Liga Super jika tiada kaitan dengan KLFA?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tindakan pasukan KL United FC berterusan menafikan pernah menawarkan kontrak kepada Simon Elissetche dan menolak kes membabitkan jurulatih itu kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), hanya akan mengundang persoalan mengenai kedudukan mereka di dalam Liga Super.

Arena bolasepak tempatan dikejutkan minggu lalu, apabila Elissetche mahu mengheret pasukan itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan kontraknya dibatalkan oleh pasukan itu tanpa alasan munasabah.

Dia turut menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM3.5 juta kerana KL United memburukkan imejnya dengan mengatakan lesen kejurulatihannya adalah tidak diiktiraf.

Menerusi laporan Arena Metro, Ketua Pegawai Eksekutif KL United FC, Stanley Bernard Samuel menafikan mereka terbabit dalam mendapatkan tandatangan bekas jurulatih Timor Leste itu dan menegaskan Elissetche sepatutnya merujuk kontrak berkenaan dengan KLFA kerana tawaran kontrak berkenaan datangnya dari badan induk itu.

Perkara sama diberitahu oleh Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa yang menganggap Elissetche terburu-buru dan sepatutnya datang berbincang terlebih dahulu, dengan persatuan itu bersedia menawarkan jawatan lain kepadanya mengikut kesesuaian.

Bagaimanapun peguam kepada jurulatih berasal dari Chile itu, Zhafri Aminurashid, berkata kontrak yang ditandatangani Elissetche adalah untuk jawatan ketua jurulatih skuad Liga Super 2021 dan KL United tidak boleh kata tidak ada kaitan memandangkan mereka adalah ‘sporting successor’ kepada KLFA selepas penswastaan diselesaikan.

Sekiranya mereka bertegas mempertahankan pendirian itu, maka KL United sepatutnya beraksi di Liga M3 sebagai sebuah pasukan baru dan bukannya Liga Super musim ini.

“Sekarang ini, lesen Liga Super sudah dipindahkan kepada KL United jadi sebagai KL United, mereka sepatutnya membawa sekali segala liabiliti dan tanggungan yang ada.

“Kalau mereka tidak mahu bertanggungjawab, mereka kena bermula daripada Liga M3. Itu baru bermakna mereka pasukan yang baharu tetapi dalam hal ini, mereka adalah sambungan kepada KLFA jadi kalau dengan kontrak bersama KLFA sekalipun, KL United perlu ikut.

“Mereka juga perlu faham yang KL United adalah ‘sporting successor’ kepada KLFA. Untuk itu, apa sahaja yang KLFA bakal kena atau akan kena, mereka pun akan terpalit sama,” katanya menerusi laporan Arena Metro.

Zhafri turut mengaskan bahawa KLFA tidak sepatutnya menawarkan posisi yang lain kepada Simon selepas dia tidak dapat menjadi jurulatih buat KL United.

Bagi musim 2021, KL United akan dibimbing oleh bekas jurulatih Kelantan, Johor Darul Takzim dan skuad B-19 kebangsaan Bojan Hodak.

Foto ehsan : NSTP

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.