“Macam ni barulah Sri Pahang” – Dollah Salleh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang akhirnya menunjukkan siapa diri mereka yang sebenar, dan ia cukup menggembirakan pengendalinya Dollah Salleh.

Bermula buruk dalam 10 perlawanan pertama apabila menang hanya sekali, seri dua kali dan kalah tujuh kali, Sri Pahang bergelut di zon penyingkiran dan diramal akan tersingkir ke Liga Premier.

Namun dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan terakhir, membolehkan Sri Pahang mula mendaki dalam kedudukan liga (kini berada di tangga kesembilan) dan Dollah Salleh mahu kebangkitan ini diteruskan sehingga hujung musim.

Pengendali berpengalaman luas itu turut memberi kredit kepada empat pemain import baru iaitu Abubakar Yakubu, Aung Kaung Mann, Kenny Athiu dan Manuel Hidalgo yang membawa rahmat buat Sri Pahang.

Hidalgo menjaringkan satu gol dan melakukan satu assist ketika seri 2-2 menentang Selangor, manakala Aung Kaung Mann dan Kenny Athiu meledak jaringan ketika menewaskan Perak FC 3-2.

“Tiga mata ini cukup penting untuk kita kerana mula-mula kita sasarkan untuk raih sembilan mata dalam tiga aksi terdahulu, tetapi kita peroleh tujuh mata dan itu juga memadai kerana saya sudah nampak perbezaan lebih baik berbanding ketika berdepan Selangor.

“Memang nampak ketara apabila import baharu ini beraksi cuma saya sedikit terkilan jugalah apabila kita mendahului, minit-minit akhir pemain saya sedikit ambil mudah sehingga lawan berjaya meraih gol, itu tak sepatutnya berlaku.

“Keseluruhan memang saya berpuas hati apa yang dipamerkan oleh empat pemain import ini walaupun mereka masih bergelut dengan kecergasan, tapi mereka guna pengalaman untuk bantu kita, saya anggap inilah Sri Pahang yang sebenar tetapi kita jangan ulangi kesilapan sepertimana pusingan pertama,” ujarnya.

Dollah Salleh juga berharap dapat menggunakan sebaik mungkin tempoh rehat selama dua bulan untuk memantapkan pasukan dan mencipta keserasian lebih baik terutama dalam kalangan import baru.

Mengenai kedudukan Lee Tuck di dalam pasukan, Dollah Salleh memberitahu ada beberapa pasukan memohon mendapatkan pemain itu secara pinjaman tetapi belum ada keputusan konkrit dibuat dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk memutuskan nasib pemain itu.

Foto kredit : Sri Pahang FC

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.