“Main 3 Hari Lagi Pun JDT Tidak Akan Dapat Menjaringkan Gol” – Bojan Hodak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali KL City, Bojan Hodak menghamburkan pujian kepada disiplin pertahanan pasukannya ketika menewaskan Johor Darul Takzim dan menjuarai Piala Malaysia 2021 pada Selasa lalu.

Jaringan Zhafri Yahya dan Paolo Josue menghadiahkan kemenangan 2-0 buat KL City tetapi turut mencuri tumpuan adalah kegagalan jentera serangan JDT diketuai Bergson Da Silva untuk meledak jaringan malah dilihat bergelut meruntuhkan kekebalan pertahanan The City Boys.

Berita Berkaitan : KL City Malukan JDT Untuk Rangkul Piala Malaysia Edisi Ke-100

Kevin Mendonza di gawang dan dua lapisan benteng menerusi rangkaian Giancarlo Gallifuoco, Daniel Ting, Ryan Lambert, Kamal Azizi serta Akram Mahinan dan Kenny Palraj di atas mereka memainkan peranan dengan begitu baik sekali sekaligus membuatkan JDT berputih mata.

Bagi Bojan Hodak itu sudah cukup untuk membuktikan mereka sememangnya berhak untuk memenangi perlawanan ini tanpa perlu mengharapkan bantuan nasib semata-mata.

“Kita ada tuah kerana kalau tidak kerana percubaan mereka terkena tiang ia mungkin merubah skrip perlawanan tetapi kami memang layak untuk mendapatkan dua gol. Saya rasa kita boleh main selama tiga hari lagi tetapi mereka tidak akan dapat menjaringkan gol.

“Itulah yang saya rasakan. Mereka (barisan pertahanan) berdepan dengan percubaan daripada luar kotak tetapi selain daripada terkena tiang dan peluang di awal permainan, selepas itu semuanya mudah untuk dibaca.

“Kita bergelut pada separuh masa pertama tetapi kita tampil lebih yakin pada babak kedua. Mereka tidak dapat mengikut rentak kita dan dengan dua gol, titik (perlawanan berakhir).

“Saya ada 30 pemain yang gembira (menang final). Begitu juga dengan ramai penyokong serta beberapa negeri yang lain di Malaysia. Ia satu perlawanan yang menarik,” kata Bojan Hodak selepas perlawanan.

Bekas jurulatih skuad B-19 kebangsaan itu juga mengakui kejayaan menjulang Piala Malaysia bersama KL City FC lebih manis memandangkan dia memiliki bilangan pemain yang terhad berbanding ketika menjulang piala bersama Kelantan dan JDT.

“Kerja yang sukar buat saya kerana ketika menang bersama Kelantan dan JDT, saya ada ramai pemain kebangsaan tetapi di sini, hanya dua (pemain kebangsaan).

“KL City FC adalah pasukan yang bekerja keras dan suasana di bilik persalinan sangat mengagumkan. Apabila ada suasana sebegini, saya tahu kita boleh lakukan sesuatu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata beliau bersama Hodak merancang membentuk pasukan mantap dalam tempoh tiga tahun dengan merangka strategi supaya Kuala Lumpur dapat menjulang piala pada 2023.

Namun, kerja gila yang dilakukan oleh Hodak dengan bertindak sebagai ahli psikologi dan pada masa sama menjaga keharmonian bilik persalinan mampu membawa kejayaan kepada pasukan dalam tempoh setahun saja.

“Hodak ini memang gila kerana pemikirannya lain dan boleh saya katakan beliau adalah jurulatih terbaik di negara ini.

“Beliau juga boleh dikatakan sebagai ‘jeneral manager’ kepada saya kerana bukan saja bertindak sebagai jurulatih namun juga pandai menggunakan pendekatan psikologi kepada pemain,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.