“Main cantik tak penting, jalan terus, janji menang” – Hairuddin Omar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Apa cara sekalipun, kalau Harimau Malaya nak cipta sejarah layak ke pusingan seterusnya, dengan apa cara tidak penting, janji menang.

“Main cantik tidak penting, jalan terus,” kata bekas kapten pasukan skuad kebangsaan, Hairuddin Omar.

Hairuddin Omar berkata demikian ketika temubual dalam program Nadi Weekend, mengulas mengenai peluang skuad negara menamatkan saingan sebagai 12 pasukan terbaik di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu pada 4 Jun lalu, menyaksikan Malaysia tergelincir ke tangga keempat Kumpulan G dan kini berdepan laluan berliku, kerana tiada pilihan selain menang dua perlawanan berbaki menentang Vietnam dan Thailand.

Menurut Hairuddin Omar, dua perlawanan itu juga membekalkan peluang terbaik untuk tiga pemain naturalisasi – Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh – yang dikecam hebat gara-gara aksi tidak menepati ekspetasi menebus kesilapan seterusnya memenangi semula hati penyokong.

“Sepatutnya lawan pasukan Asia Tenggara ini lebih mudah buat Guilherme De Paula dan Liridion Krasniqi.

“Apabila kita ambil pemain import, harapan kita terhadap mereka tinggi tapi kita dikecewakan.

“Kalau tidak menjadi juga dalam perlawanan selepas ini, kita patut kembali ke perancangan (DNA) asal,” kata penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan itu lagi.

Sebagai rekod, ketika aksi pertama dua tahun lalu, Harimau Malaya tewas 0-1 kepada Vietnam dan menang 2-1 ke atas Thailand menerusi jaringan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh.

Malaysia akan bertemu Vietnam pada tengah malam 11 Jun dan Thailand pada tengah malam 15 Jun.

Malaysia pada hakikatnya tidak mempunyai rekod pertemuan yang baik menentang Vietnam, tidak pernah menang ke atas pasukan bimbingan Park Hang Seo itu dalam lima pertemuan terdahulu.

Kemenangan terakhir Harimau Malaya ke atas Vietnam adalah pada Disember 2014, dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki.

Skuad yang ketika itu dibimbing Dollah Salleh menang 4-2 menerusi jaringan penalti Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Shukor Adan dan jaringan sendiri pemain Vietnam untuk melangkah ke final.

Rekod bertemu Thailand lebih baik di mana Malaysia tidak tewas kepada pasukan itu dalam empat perlawanan terakhir – kekalahan terakhir adalah pada 2014.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.