Mak pesan suruh zikir, jangan tinggal solat – Luqman Hakim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Pesan mak saya selalu zikir, walaupun muka saya ini nampak macam orang tak tahu zikir, tapi mak saya suruh zikir, jadi saya amalkan. Solat jangan tinggal Insya-Allah, Allah akan mudahkan perjalanan kita.

“Kita kena ingat pesanan ibu bapa ini penting, apa yang dia suruh buat ada kebaikan dia, itulah cara saya hilangkan tekanan,” ujar bintang muda skuad Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin kepada wartawan di Malaysia menerusi temubual secara online.

Pemain berusia 19 tahun itu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan sekiranya dia tertekan dengan kritikan yang dilemparkan kepada skuad Harimau Malaya susulan kekalahan besar 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu pada 4 Jun lalu.

Malah Luqman Hakim turut memberitahu wartawan bahawa dia menutup seketika semua akaun media sosialnya dan menonton rancangan di Netflix bagi menghilangkan tekanan.

Luqman Hakim yang kini bermain di Belgium bersama KV Kortrijk, bermain kira-kira 10 minit terakhir ketika kekalahan kepada UAE selepas dia masuk menggantikan Safawi Rasid.

Dia juga sedia menggalas peranan lebih besar sekiranya diturunkan dalam kesebelasan utama dalam aksi seterusnya menentang Vietnam pada 11 Jun depan, yang mana skuad Harimau Malaya membawa misi wajib menang atau peluang mara ke pusingan seterusnya akan tertutup.

“Itu semua keputusan di tangan jurulatih Tan Cheng Hoe, untuk kita sendiri kena bersedia dan sudah tentu kena bersedia lebih 100 peratus.

“Jika diberi peluang saya akan beri 200 peratus, dan apa yang ada pada diri saya sampai saya jatuh dan bangun balik, saya kutip dan saya letak balik dan lari, itu saya akan lakukan.

“Saya yakin dengan kawan-kawan semua dan sebelum pertandingan ini pun, saya anggap pasukan memang kuat dan pasukan ini akan layak ke pusingan seterusnya,” ujar Luqman dengan penuh keyakinan.

Kekalahan kepada UAE menyaksikan skuad negara kini tergelincir ke tangga keempat Kumpulan G, dipintas UAE dan Thailand namun ketiga-tiga pasukan terikat dengan sembilan mata.

Vietnam bimbingan Park Hang Seo masih unggul menerajui kumpulan dengan 11 mata manakala Indonesia pula di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.