Malang buat Terengganu FC, pegawai didenda RM35,000 dan digantung perlawanan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Khabar kurang gembira diterima kem Terengganu FC selepas berakhirnya Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat apabila pegawai pasukan mereka dikenakan hukuman berjumlah keseluruhan RM35,000 dan juga penggantungan perlawanan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Che Mokhtar Che Ali dalam satu kenyataan memaklumkan pegawai-pegawai pasukan Terengganu FC didenda RM20,000 kerana telah berkelakuan tidak wajar di mana mereka telah mengugut/menganggu kumpulan pengadil semasa dan selepas perlawanan menentang Sabah FC pada 21 Mac 2021, sehingga memerlukan campur tangan pihak polis.

Terengganu FC tewas 1-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu, yang juga kekalahan pertama mereka bagi musim 2021.

Pegawai-pegawai pasukan lazimnya merujuk kepada barisan kejurulatihan serta beberapa pegawai pasukan lain yang diberi kebenaran untuk berada di bangku simpanan ketika perlawanan berlangsung.

Sementara itu, pengurus pasukan Zul Fadli Rozi pula dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan sewaktu perlawanan yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, Zul Fadli didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil selepas tamat perlawanan, manakala pertuduhan kedua pula dia didakwa telah berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila telah cuba menyerang pengadil/kumpulan pengadil yang sedang menuju ke bilik persalinan.

Penggantungan empat perlawanan yang dikenakan ke atasnya adalah menentang Penang FC (1 Mei); Uitm FC (4 Mei), Selangor FC (9 Mei) dan Perak FC (9 Julai) tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh Malaysian Football League.

Seorang lagi pegawai pasukan, Mohd Shukri Che Zakaria turut menerima hukuman, apabila digantung dua perlawanan dan denda RM5,000 kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada penjaga garisan, Mohd Junaidy Abdul Samad, ketika perlawanan yang sama.

Perlawanan Sabah dan Terengganu FC sememangnya berlangsung sedikit tegang di separuh masa kedua, di mana beberapa keputusan pengadil dipertikaikan termasuklah jaringan Jordan Mintah yang dibatalkan kononnya kerana telah mengasari penjaga gol Sabah FC terlebih dahulu.

Perlawanan itu menyaksikan Sabah FC mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi penalti Levi Madinda dan jaringan Sam Johnson, manakala Jordan Mintah membalas satu ketika perlawanan berbaki 10 minit.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.