Kerajaan Negeri Perak tampil sebagai penyelamat kepada skuad Piala Presiden negeri itu, apabila bersetuju meletakkan mereka di bawah seliaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
Di bawah jagaan MSN Perak, kini kebajikan pemain-pemain skuad bawah 21 tahun itu yang akan turut mewakili Perak di temasya SUKMA tidak lagi terabai di mana mereka tidak lagi perlu risau mengenai makan minum, elaun, serta tempat tinggal.
Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata persetujuan mengenai perkara itu telah dicapai bersama Impact Media and Communication (IMC) dalam satu pertemuan baru-baru ini.
“Walaupun mungkin ini bukan jalan penyelesaian terbaik, namun secara peribadi ia lebih baik dari keadaan sedia ada, kerjasama ini membolehkan kerajaan negeri menghulurkan bantuan yang sepatutnya bagi menjaga kebajikan pemain.
“Kita mengiktiraf mereka sebagai atlet Sukma kita jadi mengenai elaun ia juga sudah kita bincangkan, dan kita juga cuba usahakan kadar elaun itu adalah semaksimum mungkin.
“Namun kalau tidak berjaya memperoleh kadar elaun sedemikian, sekurang-kurangnya kebajikan pemain ini sudah dijaga terutama untuk pastikan mereka tidak ‘putus ‘beras dan makan’ yang mana MSN Perak menyediakan makan minum lima kali sehari.
“Saya difahamkan mereka sedang bercuti seminggu, justeru kita tawarkan mereka untuk terus ke penginapan MSN dengan segala kemudahan yang ada selepas habis sahaja mereka bercuti,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kontrak Lantikan Pengurus Kontinjen Sukma Perak di Ipoh pada Selasa.
Kemelut melanda Perak FC kian memuncak selepas IMC yang mengambil alih pemilikan saham pasukan itu gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji lapuk lebih RM1.5 juta serta kemelut kewangan pasukan itu, menyebabkan mereka dikenakan sekatan pendaftaran pemain baru dan hanya mendaftarkan 20 pemain bagi mengharungi musim baru.
Ini juga menyebabkan mereka tidak mendaftarkan pasukan untuk beraksi dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden 2022, malah sehingga kini kesemua pemain termasuk pemain skuad Liga Premier masih menanti gaji bagi tahun ini yang belum dibayar.