Malik, Cotang kembali sarung jersi tok gajah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua bekas pemain Pahang, Abdul Malik Mat Arif dan Shahrul Aizad Zulkifli sah kembali menyarung jersi pasukan kelahiran mereka itu bagi musim 2021.

Sebagai rekod, Abdul Malik yang bermain di posisi penyerang, merupakan produk Piala Presiden Pahang serta penjaring terbanyak pertandingan itu pada 2012.

Dia diserap ke skuad senior dan membantu Pahang menjulang Piala Malaysia dua kali pada 2013 dan 2014.

Shahrul Aizad atau Cotang pula merupakan pemain sayap berasal dari Felda Bukit Goh yang mewakili Pahang pada 2014.

Kedua-dua pemain ini kemudiannya menyertai Kuantan FA pada 2015, dan berhijrah ke Terengganu FC pada 2018 selepas pasukan itu dibubarkan kerana masalah kewangan.

Selain mereka berdua, Pahang turut mendapatkan khidmat Baqiuddin Shamsudin dari UKM FC dan bekas pemain pertahanan kiri Felda United, Ahmad Jadid Ilias.

Menurut pengurus pasukan Datuk Suffian Awang, kehadiran empat pemain ini melengkapkan 80 peratus pemain yang berasal dari Pahang.

“Pengurusan sememangnya mahu menyenaraikan lebih ramai anak jati Pahang berada dalam skuad Tok Gajah dan berharap dapat berikan tentangan sengit,” kata Suffian.

Sebelum ini Suffian memberitahu Pahang yang akan dikenali dengan nama Sri Pahang FC musim depan, telah merekrut dua pemain import iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Beberapa pemain tonggak musim ini telahpun dilepaskan antaranya Gopi Rizqi yang akan menyertai Sarawak United serta R.Dinesh dan Nik Shariff Haseefy yang sah bersama Selangor.

Baca : Sathianathan punca Norshahrul Idlan tolak tawaran dua pasukan Liga Super

Baca : Nik Shariff tinggalkan Pahang demi masa depan yang lebih baik

Faisal Halim pula memilih menyertai Terengganu FC sementara pemain lain yang turut dilepaskan adalah Sharbinee Allawee Ramli serta empat pemain import iaitu Dickson Nwakaeme, Adam Reed, Khalil Khamis dan Ivan Carlos.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.