Mamadou Sakho menang saman £13 juta selepas tiga tahun tinggalkan Liverpool

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Masih ingat lagi dengan Mamadou Sakho, pemain yang digantung selama 30 hari oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) pada March 2016 selepas Agensi Anti-Doping Dunia mendakwa pemain itu positif menggunakan bahan terlarang Higenamine? 

Dia didapati positif ujian doping yang dikendalikan WADA selepas perlawanan Europa League menentang Manchester United pada 17 March.

Penggantungan Mamadou Sakho berakhir pada Mei 2016 dan tiada tindakan susulan oleh UEFA kerana pada akhirnya Higenamine didapati tidak berada dalam senarai bahan larangan WADA.

UEFA juga memutuskan kes itu digugurkan pada Julai 2016 dan mengkritik WADA kerana gagal memberikan maklumat tepat mengenai senarai bahan larangan sehingga menyebabkan pemain menjadi mangsa, tapi adakah semuanya sudah berakhir?

Bayangkan kesan penggantungan itu, bukan sahaja reputasi Mamadou Sakho terjejas, tetapi dia juga terlepas peluang untuk bermain di final Europa League tahun tersebut, selain disisihkan daripada skuad Euro 2016 Perancis.

Dia juga gagal untuk merebut semula tempat dalam skuad Liverpool sehingga terpaksa dipinjamkan ke Crytal Palace beberapa bulan selepas kembali, sebelum melengkapkan perpindahan kekal ke pasukan itu pada musim 2017/2018.

Justeru itu, pemain pertahanan tengah itu telah memfailkan saman fitnah £13 juta ke atas WADA serta menuntut permohonan maaf daripada badan induk itu kerana ‘kesilapan’ mereka itu telah menyebabkan punca pendapatannya sebagai pemain bolasepak terjejas, malah ia membawa impak besar kepada perjalanan kariernya.

WADA bagaimanapun tidak mahu mengakui kesalahan mereka dan enggan melayan tuntutan Sakho ketika itu dengan mengatakan pemain itu disisihkan Liverpool kerana masalah disiplin selain ‘tidak sebulu’ dengan Jurgen Klopp.

Selepas tiga tahun isu itu berlalu, Mamadou Sakho akhirnya mendapat keadilan – dia menang kes saman tersebut selepas Mahkamah Tinggi London mengarahkan WADA untuk membayar ganti rugi serta membuat permohonan maaf kepada pemain itu.

WADA dalam satu kenyataan memberitahu, “Kami menarik balik tuduhan dan meminta maaf kepada Mamadou Sakho atas dakwaan tidak betul itu yang dibuat pada Kenyataan Media Pertama dan Kenyataan Media Kedua.

“Kami kesal dan mengakui bahawa tuduhan berkenaan telah menyebabkan reputasi Sakho terjejas selain menyebabkan dia menanggung malu selama ini. WADA sedia untuk bayar ganti rugi serta menanggung kos guaman Sakho.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.