Manzoor Azwira sedih, terharu, mahu hanya kemenangan untuk penyokong

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, berpendapat penyokong akan disajikan perlawanan yang cukup menarik apabila skuad kendaliannya melayani kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini.

Pertembungan dua pasukan teratas Liga Premier itu diibaratkan seperti aksi final dengan tiga mata bakal meletakkan pemenang berada dalam kedudukan selesa untuk bergelar juara.

Kedua-dua pasukan masih lagi belum tewas selepas mengharungi tujuh perlawanan dan Manzoor Azwira berharap rekod cemerlang itu dapat diteruskan barisan pemainnya, bukan sahaja demi mengukuhkan laluan bergelar juara tetapi sebagai tanda terima kasih kepada penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan.

Malah, ada yang sanggup datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada minggu lalu bagi meraikan pemain dan pegawai selepas menang dengan Johor DT II di Larkin.

“Saya cukup terharu dalam masa sama berasa sedih juga penyokong tidak boleh hadir ke Bandaraya pada Sabtu ini untuk berikan sokongan kerana jika dilihat di media sosial, begitu banyak sekali komen penyokong terhadap kami.

“Jika kami berjaya mendapatkan kemenangan dengan Kuala Lumpur, saya mahu hadiahkan tiga mata ini kepada penyokong dan tidak boleh dilupakan ada antara mereka berkorban masa serta tenaga untuk datang ke lapangan terbang bertemu dengan kami, sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Manzoor Azwira menyifatkan Kuala Lumpur lawan liat yang mempunyai kualiti setanding pasukan Liga Super namun menegaskan skuad Harimau Kumbang sudah bersedia dengan perancangan tersendiri bagi menjerat pasukan bimbingan Nidzam Adzha Yusoff itu.

“Kuala Lumpur ini sebenarnya pasukan setaraf Liga Super jika melihat kualiti serta pemain yang ada pada mereka tetapi kami akan berjuang habis-habisan dalam mendapat tiga mata berharga.

“Kemenangan ini bukan sahaja meletakkan kami semakin hampir dapatkan slot ke Liga Super malah meletakkan dalam kedudukan baik bergelar juara Liga Premier.

“Saya juga semakin gembira banyak peningkatan ditunjukkan pasukan terutama sejak kehadiran Lee Chang Hoong yang boleh bermain dalam dua perlawanan lalu kerana banyak membantu Endrick dan Casagrade di bahagian atas,” katanya.

Foto ehsan : FA Penang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.