Marco Ragini Berterima Kasih Kepada Zamsaham

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketiadaan Marco Ragini begitu lama bersama skuad Kelantan FC ternyata menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mengenai statusnya sama ada masih lagi merupakan ketua jurulatih pasukan itu atau tidak.

Manakan tidak, kelibatnya tiada lagi dapat disaksikan sejak kekalahan kepada Sarawak United pada 7 Ogos.

Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut dialami Kelantan FC dan perlawanan seterusnya menentang Kelantan United tugasnya telah dipangku Reezal Zambery Yahya sehingga ke hari ini.

Ini menyebabkan ada penyokong beranggapan pengendali dari Itali itu telah direhatkan/dipecat gara-gara prestasi buruk namun tiada sebarang kenyataan rasmi dari pihak pengurusan berhubung ‘kehilangannya’.

Ketika dihubungi Labola Malaya, Marco Ragini menyatakan beliau masih lagi ketua jurulatih pasukan Kelantan FC dan sebenarnya telah pulang ke Itali untuk menjalani pembedahan.

“Saya terpaksa menjalani pembedahan kecil dengan segera (herniated disc) dan disebabkan masalah logistik selepas pembedahan, Mr Presiden (Norizam Tukiman/Zamsaham) telah membenarkan saya melakukannya di Itali. Saya berterima kasih atas budi bicara beliau.

“Sekarang saya sudah pulih tetapi masih memerlukan sekurang-kurangnya 3-4 minggu lagi untuk pulih sepenuhnya dan mahu kembali secepat mungkin ke Malaysia,” ujar pengendali berusia 54 tahun itu.

Ini bermakna sekiranya Kelantan FC mara beraksi di Piala Malaysia, mereka akan terus beraksi di bawah bimbingan Reezal Zambery. Saingan Piala Malaysia akan bermula pada 26 September dan berakhir pada penghujung November.

“Malangnya saya tidak rasa saya sempat untuk kembali sebelum tarikh tersebut. Saya perlu mengikut jadual pemulihan yang telah dinasihatkan oleh doktor. Paling awal saya boleh kembali adalah pertengahan November,” katanya lagi.

Sepanjang di bawah kendalian Reezal Zambery, skuad Kelantan FC mencatatkan dua kemenangan (menentang Kelantan United dan Negeri Sembilan) dan dua kekalahan (menentang Kuching dan Sarawak United).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.