Marco Ragini naik angin Kelantan FC hampir diaibkan

Kelantan FC vs Skuad Projek
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kelantan FC, Marco Ragini jelas berang dengan permainan ditunjukkan pasukannya yang begitu hampir diaibkan skuad Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Premier 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Sabtu.

The Red Warriors memerlukan dua gol lewat daripada Christos Intzidis (m-83) dan Ismail Ibrahim pada masa kecederaan untuk bangkit daripada ketinggalan dan melakar kemenangan 2-1 ke atas skuad bimbingan Yusri Che Lah itu yang menduduki tangga tercorot.

Skuad Projek FAM-MSN terlebih dahulu berada di depan menerusi ayam tambatan Azhad Harraz Arman pada minit ke-53. Malah mereka hampir sahaja menggandakan kedudukan pada minit ke-68 namun percubaan Azhad Harraz sedikit tersasar.

“Kami bermain terlalu buruk, terlalu teruk, melakukan terlalu banyak kesilapan, sama ada kesilapan individu mahupun kesilapan taktikal, dan memburukkan keadaan kita kehilangan beberapa pemain ketika perlawanan kerana kecederaan.

“Memang kita menang tetapi tiada apa untuk dibanggakan, satu-satunya perkara positif daripada perlawanan ini adalah kita meraih tiga mata yang memberi keyakinan untuk perlawanan seterusnya, selebihnya adalah negatif, bukan aksi seperti ini yang saya harapkan,” kata pengendali dari Itali itu kepada media.

Kemenangan ini turut menamatkan kemarau kemenangan Kelantan FC dalam empat perlawanan terdahulu, dan kemenangan kelima mereka musim ini.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga skuad Kelantan FC mencatat kemenangan menerusi jaringan minit akhir, termasuk ketika menewaskan skuad Projek MSN-FAM 2-1 di pusingan pertama.

Sementara itu, pengendali skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah pula berkata mengakui sukar menerima hakikat pasukannya melepaskan dua gol pada lewat permainan.

“Kita tidak seharusnya tewas begini, dalam 90 minit, kita telah berjaya mengimbangi permainan dengan baik walaupun memang pada separuh masa pertama dikuasai pasukan tuan rumah.

“Di separuh masa kedua kita cuba menekan dan berjaya dapatkan jaringan, malah mencipta lagi peluang, yang mana jika disudahkan kita pastinya telah membunuh kebangkitan Kelantan. Pada akhirnya kita melepaskan dua gol menerusi set-piece, kita telah bertahan dengan baik sejak daripada awal, tetapi itulah bolasepak,” kata Yusri Che Lah.

Foto ehsan : TRW Kelantan FC


Hakcipta terpelihara Labola Malaya

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.