Marco Ragini puas Kelantan FC ‘makan’ Kelantan United dengan 10 pemain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan FC tidak membenarkan status mereka sebagai ‘jaguh Kota Bharu’ diragut apabila membenam cabaran Kelantan United 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Selasa.

Jaringan penalti oleh Jack Hindle di babak pertama serta gol minit akhir Nurshamil Abdul Ghani mengesahkan kemenangan ketiga buat skuad Marco Ragini dalam Liga Premier 2021.

Lebih menarik, Kelantan yang diketahui dibarisi pemain-pemain mentah pengalaman melakar kemenangan tersebut dengan beraksi 10 pemain untuk hampir 30 minit terakhir selepas Jack Hindle dilayangkan kad merah kerana mengasari Shuhei Fukai.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini, sangat berpuas hati pemain-pemain memberikan 100 peratus dan bangkit daripada kekalahan mengecewakan kepada Sarawak United baru-baru ini, yang mana setidak-tidaknya kita boleh dapat satu mata.

“Terima kasih juga kepada pemilik pasukan (Zamsaham) yang berjumpa dan melonjakkan semangat pemain selepas kekalahan tempoh hari. Jelas ia bukan perlawanan yang mudah, satu pasukan bermain baru tiga hari lalu dan satu pasukan telah berehat dua minggu.

“Pemain memberikan segalanya untuk memastikan tiga mata yang cukup penting ini dan saya tahu kemenangan pada ‘local derby’ mempunyai nilai istimewa dan membawa kegembiraan tersendiri kepada penyokong. Sudah tentu saya berkongsi sama kegembiraan ini dan berharap kita mampu teruskan rentak ini dalam perlawanan seterusnya,” kata Marco Ragini.

Pada perlawanan tersebut, Jack Hindle meletakkan The Red Warriors di hadapan pada minit ke-15 selepas sepakan penaltinya gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mohamad Fikri Che Soh.

Walaupun cuba bangkit, skuad Akira Higashiyama gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang di separuh masa pertama menerusi Gassama Al Fusainey dan Qayyum Marjoni, selain berterusan dihampakan ketumpulan penyudah di babak kedua.

Malah, selepas Jack Hindle dilayangkan kad merah pada minit ke-63 sekalipun, mereka mendapati ia sukar menembusi benteng terakhir TRW dan sisa perjuangan mereka dibunuh Nurshamil yang meledak gol kedua pada masa kecederaan.

Ia gol ketiga pemain itu musim ini.

Lebih menggembirakan barisan pemain Kelantan FC, Zamsaham (Norizam Tukiman) juga memberikan bonus sebanyak RM1,000 atas komitmen dan kesungguhan ditunjukkan untuk memenangi perlawanan ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.