“Masa Dia Dekat FAM Dulu Apa Dia Buat, Lagi Teruk Ada Laa” – Jacob Joseph

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kritikan bekas pemain kebangsaan Normala Rashid terhadap prestasi skuad bolasepak wanita di pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 pada minggu lalu, nyata kurang disenangi pengendali pasukan Jacob Joseph.

Skuad negara tewas 0-4 kepada Thailand dalam perlawanan pertama Kumpulan H sebelum menang 2-0 ke atas Palestin pada aksi kedua, dan Normala Rashid menyatakan bahawa prestasi skuad wanita sebagai belum sampai ke standard yang sepatutnya.

Jacob jelas berang dengan kenyataan itu dan mempersoalkan apa yang dilakukan Normala sepanjang beberapa tahun berada di FAM sebelum ini dalam membawa skuad wanita negara mencapai standard yang diinginkan.

Sebagai rekod, Normala merupakan Ketua Unit Wanita FAM dari 2006-2008 dan 2016-2018.

“Masa dia (Normala) dulu pasukan negara tewas teruk 14-0 kepada Thailand dan kalah dengan jumlah yang besar kepada pasukan lain termasuk Vietnam dalam Sukan SEA 2009, apa yang dia buat?

“Saya tak tahu apa yang dia buat ketika duduk dekat FAM dulu, bukan sekali, tapi dua kali. Sekarang dia nak kritik pasukan, kalau dia betul-betul buat projek (pembangunan untuk bola sepak wanita) sejak 2006, sekarang saya fikir tiada masalah.

“Selama ini dia banyak buat kritikan saya diam saja, tapi kali ini kritikan dia sebagai bekas pemain kebangsaan dan pernah kerja di FAM saya tak boleh terima. Malah, kalau orang lain yang cakap (kritik), saya akan buat tak tahu.

“Pemain penat sampai menangis ketika berlatih, akhirnya anda cakap mereka tak ada standard. Dia patut beri komen lebih positif, komen dia itu tidak bagus,” katanya kepada BH Sukan.

Untuk pengetahuan, skuad negara bertandang ke Palestin untuk aksi kelayakan dengan persiapan kira-kira 25 hari dan dua tahun tiada sebarang aksi kompetitif.

Justeru Jacob berpendapat komitmen dan kesungguhan ditunjukkan pemainnya wajar diberikan kredit.

Malah, dia berkata sebahagian besar barisan pemain yang dibawa ke Palestin itu juga terdiri daripada pemain muda yang berusia bawah 20 tahun dan kali pertama mewakili negara di pentas tinggi.

“Inilah masanya kita nak bagi sokongan pada mereka (pemain), bukan kritikan. Jangan anda sebagai bekas pemain kebangsaan dan pernah kerja di FAM, anda cakap bola sepak wanita kebangsaan tiada standard,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.