Masalah jantung punca Piya belum sertai sesi latihan?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong bolasepak tempatan tiba-tiba digemparkan dengan perkhabaran bahawa bekas kapten pasukan Kelantan, Badhri Radzi mengalami masalah jantung.

Semuanya gara-gara tular sekeping gambar yang dimuatnaik di media sosial oleh Badhri Radzi atau dikenali Piya sendiri, yang meletakkan kapsyen dia mengalami masalah jantung berlubang selepas membuat pemeriksaan Electrocardiogram (ECG).

“Gi check ECG, kato ado jantung belube pulok, berat tahun ni pado tahun lepas (Buat pemeriksaan ECG, diberitahu ada masalah jantung berlubang pula, teruk tahun ini berbanding tahun lalu),” keluh Badhri Radzi.

Badhri Radzi difahamkan telah meminta cuti beberapa hari dari menjalani latihan bersama Kelantan United kerana masalah kesihatan, dan ia turut diumumkan di akaun media sosial rasmi pasukan itu.

Badhri Radzi Piya Masalah jantung punca Piya belum sertai sesi latihan?

Tetapi persoalan lebih besar dibangkitkan segelintir penyokong jika benar pemain berusia 39 tahun itu mengalami masalah jantung, bagaimana dia boleh melepasi ujian kecergasan bersama Kelantan United lantas diumumkan sebagai pemain baru bagi musim 2021, adakah kelab itu tidak mengendalikan ujian kecergasan dengan betul?

Setiausaha Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman Wan Ab Aziz bagaimanapun menepis tanggapan itu dengan menjelaskan bahawa Badhri Radzi hanya membuat pemeriksaan kesihatan lanjut dan telah lulus ujian kecergasan yang dibuat pasukan perubatan.

“Pemeriksaan itu (ECG) hanya prosedur biasa bagi seorang pemain bola profesional, dan ia sekadar pemeriksaan lanjutan untuk memastikan dia benar-benar bebas dari sebarang masalah kesihatan dan boleh memberikan yang terbaik apabila musim bermula. Inshaallah dia akan kembali berlatih dalam tempoh terdekat,” kata Wan Mohd Zul Ikman.

Wan Mohd Zul Ikman bagaimanapun tidak menjawab mengenai maksud sebenar kapsyen yang ditulis oleh Badhri Radzi.

Sebagai rekod, Badhri Radzi yang dilabel salah seorang pemain paling berjaya dalam arena bolasepak negeri Kelantan berikutan pencapaian hebat dari tahun 2008-2018 bersama skuad The Red Warriors termasuklah bergelar Pemain Paling Bernilai pada 2013, telahpun menyertai Kelantan United buat pertama kali pada pertengahan musim 2019.

Kelibatnya bagaimanapun tidak banyak disaksikan pada musim Kelantan United bergelar juara Liga M3 itu.

Dia difahamkan akan kekal bersama pasukan itu pada musim 2020 tetapi pada akhirnya tidak berdaftar dengan mana-mana pasukan sebelum membuat ‘comeback’ pada tahun ini, bersama-sama seorang lagi bekas pemain Kelantan Fitri Omar.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.