Sehingga awal Februari 2020, Matthew Davies masih lagi merupakan kapten pasukan Pahang.
Sasaran dan tekadnya adalah memastikan Tok Gajah dapat untuk mencabar sengit kejuaraan Liga Super dan menjulang sekurang-kurangnya satu piala.
Dia juga tidak menganggap Pahang sebagai pasukan tempang meskipun kehilangan ramai pemain tonggak antaranya Norshahrul Idlan Talaha, Safuwan Baharudin dan Wan Zaharulnizam Zakaria.
Namun, tidak pernah dia terfikir, beberapa minggu selepas itu, kira-kira dua minggu sebelum sepak mula musim baru, dia sendiri akan berhijrah menyertai juara enam kali Liga Super yang juga salah sebuah kelab paling berjaya di rantau Asia Tenggara – Johor Darul Takzim.
Perpindahannya bernilai sekitar RM2 juta itu sekaligus menjadi perpindahan paling berprofil tinggi bagi musim 2020.
Dengan reputasi gah selaku salah seorang tonggak Harimau Malaya, Matthew Davies, pantas memenangi kepercayaan barisan kejurulatihan apabila diturunkan dalam kesemua empat perlawanan yang telah diharungi sebelum saingan liga ditangguhkan.
Bagi bekas pemain Perth Glory berusia 25 tahun itu, menyertai JDT adalah keputusan terbaik pernah dilakukannya.
“Ia (perpindahan) berlaku pada minit akhir, sejujurnya saya sudah tetapkan apa yang mahu dikecap bersama Pahang bagi musim ini dan meninggalkan mereka adalah keputusan berat, tetapi untuk menyertai sebuah kelab seperti JDT adalah mimpi menjadi kenyataan.
“Saya hanya mempunyai perkara yang baik untuk dikatakan tentang kelab dan orang di sini, dan saya menikmati setiap detik di sini.
“Saya datang dari Liga Australia dan pada pandangan saya, tiada satu pun kelab di Liga A yang mempunyai fasiliti, protokol, barisan kejurulatihan dan pengurusan seperti ini. Jadi ianya sangat menakjubkan untuk berada di sini. Saya sangat bertuah dan bersyukur sebagai pemain bola sepak untuk mengalami fasiliti ini dan tahap perhatian yang diberikan kepada para pemain.
“Perkara-perkara kecil seperti makanan sihat yang disediakan kepada anda selepas latihan. Sejurus selesai latihan, anda mempunyai mesin krioterapi, sauna infra merah, bilik pemulihan, mandian ais.
“Ianya sangat menakjubkan jika dilihat tahap perhatian yang diberikan kepada pemain-pemain. Ianya perkara-perkara kecil dari segenap sudut. Kelab ini diuruskan dengan sangat baik,” kata Matthew Davies dalam bual bicara ringkas di platform In 20.
Hakikatnya, kecanggihan fasiliti dan kemudahan lain dari aspek sains sukan hingga ke kumpulan perubatan dimiliki JDT, bukan sahaja dikagumi pemain tempatan tetapi pernah banyak kali mendapat pujian daripada pemain-pemain ternama dunia yang menyifatkan pemiliknya Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim telah menjadikan JDT bukan sebagai kelab berjaya, tetapi satu jenama yang unggul.
Malah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika membuat lawatan kerja ke Pusat Latihan JDT pada 7 Julai lalu menyatakan : “Saya berasa kagum dan amat berbesar hati kerana dapat melihat sendiri reka bentuk Stadium Sultan Ibrahim. Pusat Latihan Padang Seri Gelam pula dilengkapi pelbagai fasiliti sains sukan “state of the art”. Syabas.
“Dengan fasiliti bola sepak seperti ini, terpahat penanda aras baharu standard bola sepak negara. Saya yakin DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dapat melonjakkan imej bola sepak negara di persada antarabangsa.”
Foto : Johor Southern Tigers