Arsenal sebuah pasukan yang tidak menghormati malah diskriminasi mereka terhadap agama islam adalah cukup tinggi, ia boleh dilihat dengan jelas dalam layanan mereka terhadap bintang tengah, Mesut Ozil.
Itu kandungan surat terbuka daripada Majlis Persatuan Cypriot Turki (CTCA) yang terdiri daripada etnik Turki berasal dari Cyprus kepada kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Ozil merupakan pemain beragama islam yang telah menjadi tonggak kekuatan the gunners sejak 2013 tetapi nasibnya berubah sekelip mata sejak kira-kira 12 bulan lalu, dipercayai berpunca daripada kritikannya terhadap penindasan kerajaan China ke atas etnik islam Uighur di negara itu.
Pengerusi CTCA Mehmet Ertugrul mendakwa beberapa pemain lain turut bersuara menentang ketidakadilan seperti Hector Bellerin dan Pierre Emerick Aubameyang, tetapi terlepas daripada menerima nasib seperti Mesut Ozil kerana mereka bukan beragama islam.
Sebelum ini Bellerin menggesa orang ramai untuk keluar mengundi pada Pilihanraya Umum UK dengan meletakkan hashtag berunsur kecaman ke atas Perdana Menteri Boris Johnson.
Menurut Mehmet, Arsenal juga dilihat menyatakan sokongan kepada kapten pasukan Aubameyang serta penyokong Nigeria yang mengadakan protes menentang keganasan dilakukan anggota polis pada bulan lalu.
Tetapi ketika Ozil bersuara menentang ketidakadilan terhadap etnik islam, dia dilayan seperti sampah, cuba disingkirkan daripada pasukan dengan pelbagai alasan seperti pemalas, tidak berdisiplin, tidak komited dan besar kepala.
Malah, pengurus Arsenal Mikel Arteta tidak menyenaraikan nama Mesut Ozil dalam kedua-dua senarai 25 pemain bagi saingan Liga Perdana Inggeris mahupun Europa League, atas ‘alasan bolasepak’ yang bermakna kariernya di Emirates sudahpun berkubur.
Justeru Mehmet menyifatkan ia sebagai layanan berat sebelah dan melabel Arsenal sebagai kelab yang mempunyai diskriminasi tinggi terhadap komuniti islam.
Sepanjang lapan musim berpindah dari Real Madrid ke Arsenal, Ozil membuat lebih 200 penampilan dan menjulang Piala FA sebanyak tiga kali pada 2013/14, 2014/15 dan 2016/17.
Manakala bersama pasukan kebangsaan Jerman, dia yang pernah dinobatkan German Player of The Year sebanyak lima kali merupakan tonggak yang membantu mereka menjulang Piala Dunia 2014. Dia turut memainkan peranan penting memacu Jerman ke separuh akhir Piala Dunia empat tahun sebelum itu.