Melaka United boleh ambil pemain baru ke, bukan kena sekatan perpindahan?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Melaka United antara yang sedang rancak merombak pasukan di jendela perpindahan kedua, dengan dua pemain import baru diberitakan akan memperkuatkan cabaran pasukan itu yang sedang berjuang keluar dari zon penyingkiran.

Dua pemain itu adalah Giovane Gomez dan seorang lagi pemain yang belum didedahkan nama, yang bakal menggantikan Stefan Nikolic dan Alex Goncalves.

Mereka turut dikaitkan dengan usaha mendapatkan dua pemain Johor Darul Takzim – Gary Steven Robbat dan Safiq Rahim – secara pinjaman.

Tetapi persoalan besar yang timbul, boleh ke pasukan Melaka United mengambil pemain baru, sedangkan mereka telah dikenakan sekatan perpindahan dan dilarang mendaftarkan pemain baru di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021 oleh FIFA sebelum ini?

Berita berkaitan : Gagal lunas tunggakan gaji seperti diarahkan, Melaka United berdepan hukuman FIFA 

Larangan itu dikenakan susulan kegagalan Melaka United melangsaikan tunggakan gaji bekas pemain import mereka Narupon Wild Putsorn berjumlah keseluruhan RM241,726.69.

FIFA pada tahun lalu mengarahkan Melaka United untuk melangsaikan tunggakan itu dalam tempoh 45 hari bermula 11 November 2020 namun mereka gagal berbuat demikian sebaliknya gah melakukan persiapan menghadapi musim baru.

Apabila perkara itu dibangkitkan Narupon pada bulan Februari lalu, bekas CEO Melaka United, Datuk Saiful Mat Sapri berkata pihak pengurusan memahami implikasi daripada kegagalan menyelesaikan tunggakan itu dan berjanji semuanya akan diselesaikan segera untuk mengelakkan hukuman dari FIFA.

Namun janji hanya sekadar janji, sehingga ke waktu artikel ini ditulis, pemain dari Thailand itu belum menerima sebarang bayaran.

Difahamkan juga bahawa Melaka United telah diberi peringatan mengenai perkara tersebut oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyebabkan berlaku situasi panik dan proses pembayaran hanya bermula pada Selasa (18 Mei).

Namun memandangkan jumlahnya adalah besar, ia dijangka mengambil masa lebih dari seminggu untuk dilunaskan (itupun jika mereka konsisten dan serius membuat pembayaran penuh) pada ketika jendela perpindahan kedua akan ditutup pada 30 Mei.

Berita berkaitan : CEO Melaka United diselar buat kenyataan tidak betul dan tidak bertanggungjawab

Jika perkara ini sampai ke pengetahuan FIFA, dikhuatiri Melaka United akan dikenakan hukuman lebih berat kerana bukan sahaja gagal mematuhi arahan pembayaran, tetapi mengingkari perintah sekatan perpindahan.

Sementara itu peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli, yang pernah berkongsi kepakaran bersama FAM, menekankan kelab yang dikenakan sekatan perpindahan, turut tidak boleh mendaftarkan pemain secara pinjaman.

“Jika sebuah kelab tidak boleh menandatangani pemain baru, ia berkuatkuasa juga ke atas pemain berstatus pinjaman,” katanya merujuk kepada artikel 10 peraturan FIFA berkaitan Perpindahan dan Status pemain 2021.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.