Melaka United Sudah Ada Pengganti Risto Vidakovic

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemilik Melaka United, Datuk Seri Justin Lim mengesahkan bahawa pasukan itu sudahpun mempunyai calon untuk menggantikan Risto Vidakovic yang ditamatkan kontraknya beberapa hari lalu.

Menurut Justin selain pengendali tempatan, pengurusan Melaka United turut merisik beberapa jurulatih luar negara untuk membimbing pasukan itu.

“Kami sudah ada nama untuk menggantikan Vidakovic namun setakat ini belum memutuskan mahu menggunakan khidmat jurulatih tempatan atau kekal mengambil pengendali asing.

“Saya tidak boleh sebut nama berkenaan, namun dalam tempoh seminggu lagi akan umumkan jurulatih terbabit,” katanya kepada Arena Metro.

Vidakovic merupakan jurulatih pertama dipecat dalam saingan Liga Malaysia musim ini, di mana ia dikaitkan dengan faktor prestasi berikutan Melaka United gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan yang telah diharungi.

Mereka hanya mengutip satu mata susulan keputusan seri menentang Penang FC, dan tewas dalam tiga perlawanan termasuk yang terbaru kepada KL City minggu lalu.

Bagaimanapun penyokong bolasepak tanah air percaya pemecatan Risto Vidakovic lebih kepada rasa tidak puas hati pihak pengurusan atas tindakannya mendedahkan masalah tunggakan gaji pasukan itu kepada umum.

Dia memberitahu pada sidang media selepas kekalahan kepada Sabah bahawa faktor utama pasukannya bermain seperti hilang motivasi adalah kerana tidak dibayar gaji selama tiga bulan.

Pengurusan menyelesaikan tunggakan itu dan memberi amaran kepada Vidakovic, dalam masa sama menjelaskan bahawa gaji tertunggak pasukan itu hanyalah sebulan bukannya tiga.

Antara jurulatih yang ketika ini hangat dikaitkan dengan Melaka United adalah bekas jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe serta dua bekas pengendali pasukan itu Zainal Abidin Hassan dan Mat Zan Mat Aris, pengurus Sri Pahang Dollah Salleh selain jurulatih import.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.