Memahami Keirin Dan Sebab Malaysia Dikatakan Ada Kelebihan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kontijen Malaysia mempunyai satu peluang terakhir untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020, menerusi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom.

Mereka akan turun ke Izu Velodrome untuk mengambil bahagian dalam acara yang sejak dari awal dikatakan prospek pingat – keirin.

Pusingan pertama dan repecharge bagi pusingan pertama akan berlangsung pada 7 Ogos manakala pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir kesemuanya pada 8 Ogos.

Pada edisi 2016, Azizulhasni memenangi gangsa acara ini dan dia sekali lagi mengegar apabila muncul juara dunia pada 2017 maka tidak hairanlah keirin dikatakan acara tumpuan dan favourite berbanding acara pecut.

Berita berkaitan : Insiden tertusuk kayu, Azizulhasni akui tipu jurulatih demi jaga status no.1 dunia

Namun, berapa ramai antara kita tahu bagaimana perlumbaan keirin ini berlangsung, apa bezanya dengan acara pecut. Kenapa dikatakan Malaysia ada kelebihan sedangkan kita berlumba dengan pelumba yang sama?

Keirin merupakan perlumbaan trek yang berlangsung sebanyak lapan pusingan trek velodrome 250m, atau keseluruhan 2 kilometer.

Dari pusingan pertama, pelumba akan mengekori pacer atau the derny (basikal eletrik) yang pergerakannya bermula perlahan tetapi semakin laju pada setiap pusingan.

Pelumba-pelumba tidak dibenarkan memotong basikal eletrik tersebut sehinggalah kelajuan mencecah 50km/j dan jarak ke garisan penamat sekitar 600m (kira-kira dua pusingan setengah) basikal eletrik itu akan bergerak ke tepi seterusnya memberi laluan kepada pelumba untuk memecut.

Jadi kenapa dikatakan Malaysia ada kelebihan? John Beasley (jurulatih Azizulhasni) menerangkan: “Pecut adalah melibatkan pecutan dan mereka yang bertubuh besar lebih mudah untuk berjaya dalam acara ini.

“Keirin pula berbeza, ia tidak bergantung kepada pecutan semata-mata, sebaliknya kuasa (tenaga) dan kelajuan dan percaturan taktikal.

“Di sini Malaysia cemerlang daripada segi taktikal kerana pecutan hanya digunakan sedikit, kami bergerak dalam kelajuan 70 ke 80km/j dan ia membantu mengurangkan cabaran mereka yang bertubuh besar.”

Untuk mendapat gambaran jelas, bolehlah menonton aksi final keirin Olimpik 2016 ini yang mana Azizulhasni memenangi gangsa.

Untuk edisi Tokyo 2020, sebanyak 30 pelumba akan mengambil bahagian. Kesemua mereka mereka dibahagikan kepada lima saringan.

Azizulhasni akan berlumba dalam saringan ketiga bersama-sama Sebastian Vigier (Perancis), Stefan Botticher (Jerman), Patryk Rajkowski (Poland), Jean Spies (Afrika Selatan) dan Nicholas Paul (Trinidad).

Manakala Shah Firdaus pula dalam saringan kedua bersama-sama Matthew Richarson (Australia), Hugo Barrette (Canada), Jack Carlin (Great Britain), Sergey Ponomaryov (Kazakhstan) dan Matthijs Buchli (Belanda).

Hanya dua pelumba teratas setiap saringan (pusingan pertama) akan layak ke pusingan suku akhir secara automatik, manakala selebihnya akan mendapat peluang kedua dengan berlumba semula dalam pusingan repecharge.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.