Memahami Sebab Tiada Skuash, Takraw, Boling Atau Silat Di Sukan Olimpik

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menutup tirai pada Ahad lalu menyaksikan penantian Malaysia untuk mengenggam pingat emas pertama belum dapat dinoktahkan.

Malaysia pulang dengan pencapaian yang tidak menepati sasaran, memenangi satu perak menerusi Datuk Azizulhasni Awang dari sukan berbasikal dan satu gangsa menerusi gandingan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ia juga jauh lebih teruk berbanding empat perak dan satu gangsa lima tahun lalu di Rio De Janeiro, Brazil.

Kini tumpuan beralih ke Sukan Olimpik di Paris 2024, sekali lagi sudah kedengaran laungan misi memburu emas pertama dengan sukan yang sama dijangka menjadi pertaruhan iaitu badminton, terjun dan berbasikal.

Tidak mengejutkan kerana sukan apa lagi yang mahu kita harapkan selain tiga sukan tersebut. Jika ada atlet renang atau olahraga di olimpik, mereka tidak lebih dari pergi bertanding untuk cuba memperbaiki pencapaian peribadi ataupun rekod kebangsaan.

Kita mungkin ada atlet berpotensi tinggi prospek emas dalam sukan-sukan seperti skuash, silat, boling mahupun sepaktakraw tetapi sayangnya semua itu bukan sukan yang dipertandingkan di Olimpik.

Jika anda peminat sukan pastinya anda sedia tahu sebab sukan tersebut tidak dipertandingkan di olimpik, tetapi kepada yang tertanya-tanya, ini sedikit penjelasan.

Pertamanya, usaha untuk melobi dan menyenaraikan sesuatu sukan untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik adalah di bawah persatuan sukan antarabangsa (IF) masing-masing.

Sebagai contoh skuash di bawah Persekutuan Skuash Dunia (WFS); silat di bawah Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa; boling di bawah Persatuan Tenpin Boling Dunia; bola jaring di bawah Persatuan Bola Jaring Antarabangsa dan begitulah seterusnya.

Mana-mana persatuan sukan dunia boleh melobi, tetapi sudah tentu ada syarat atau kriteria antarabangsa yang mahu dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan sukan mana mahu dipilih untuk dipertandingkan.

Faktor paling penting untuk dipertimbangkan adalah sukan tersebut perlu paling kurang 65 negara yang aktif memainkannya dan ia perlu mendapat majoriti undian (2/3) di persidangan IOC selain pertimbangan dalam aspek nilai komersial dari segi penyiaran, berapa juta orang akan menonton dan macam-macam lagi yang akan diberi penilaian.

Sekiranya mendapat lampu hijau, ia tidak akan terus dipertandingkan secara rasmi sebaliknya akan terlebih dahulu disenaraikan sebagai sukan demonstrasi (pertunjukan) dan dalam tempoh empat atau lapan tahun selepas itu barulah dipertandingkan secara rasmi.

Ia juga boleh mengambil masa lebih lama, sebagai contoh, badminton dipertandingkan sebagai sukan demonstrasi di Olimpik 1972 dan hanya disenaraikan sebagai sukan rasmi olimpik pada edisi 1992 (20 tahun kemudian).

Sebelum ini pada tahun 2013, skuasy menerusi WSF pernah melobi sukan itu untuk disenaraikan ke temasya Olimpik 2016 namun ditolak oleh IOC atas beberapa faktor.

Antaranya tidak mendapat majoriti undian dua per tiga di Persidangan IOC menyaksikan skuasy tewas kepada golf dan ragbi.

WSF mencuba sekali lagi untuk skuash dimasukkan ke Olimpik 2020 malangnya ia turut ditolak dan sebaliknya lima sukan baru papan luncur, besbol, luncur air dan memanjat dinding (wall climbing) dipilih.

Terbaru, silat juga bercadang untuk melobi sukan itu untuk dipertandingkan di Olimpik kerana mereka yakin mempunyai jumlah sokongan yang cukup.

Kebanyakan persatuan sukan antarabangsa lain tidak dapat berbuat demikian adalah kerana kurang sokongan seterusnya akan menyukarkan untuk mendapat undian majoriti di persidangan IOC.

Begitulah sedikit penjelasan mengenai sebab sukan-sukan seperti boling, bola jaring, silat, skuash mahupun sepak takrawa tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.