‘Memang saya sakit hati hiburan terus beroperasi, sukan termasuk bolasepak menjadi korban’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Keputusan Malaysian Football League (MFL) membatalkan terus saingan Piala Malaysia pada musim ini, ternyata mengecewakan ramai pihak.

Langkah itu adalah pilihan terakhir yang terpaksa akhirnya diambil oleh MFL selepas cubaan mereka ‘menyelamatkan’ pertandingan berprestij itu menemui jalan buntu, susulan rayuan yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara agar ia dapat diteruskan dan dihabiskan dalam bulan ini ditolak.

Antara yang paling kecewa, adalah Exco FAM, Christopher Raj, yang menganggap sektor sukan terutama bolasepak bagai dianaktirikan dan mendapat layanan kelas dua.

“Sudah tentu saya sangat kecewa, saya kecewa dan mungkin marah kerana (program) hiburan di depan mata saya masih berlangsung.

“Saya rasa ia satu perkara yang tidak adil kerana pemain-pemain (bola sepak) juga bergaji dan memerlukan pendapatan masing-masing.

“Sudah tentu ia akan menjadi satu tamparan yang hebat buat setiap kelab kerana mereka terpaksa membayar gaji sehingga Disember ini.

“Sudah berapa bulan mereka tidak bermain? potongan gaji sudah dilakukan. Ada kelab yang melakukan pemotongan gaji sehingga 10 peratus, 20 peratus, 30 peratus.

“Kami tidak mahu sehingga ada situasi di mana pemain terpaksa menjual pingat atau trofi mereka. Kami memang sedih apabila perkara seperti ini berlaku. Kerana pembatalan ini boleh mendatangkan masalah kewangan buat semua pihak, bukan sahaja buat MFL dan FAM tetapi juga buat pemain, kelab dan sebagainya,” kata dalam temubual di Nadi Arena.

Luahan Christopher Raj ada benarnya memandangkan kerajaan tidak mengenakan sebarang larangan terhadap program-program hiburan, kononnya kerana mengikut SOP ketat dan garis panduan ditetapkan, sedangkan pasukan-pasukan bolasepak juga telah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga.

Malah, kenyataan Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa artis-artis tidak membuat persembahan tarian secara beramai-ramai di atas pentas, sebaliknya menari di tempat dan masa berbeza sebelum digabungkan menggunakan teknologi moden bagi menampakkan mereka menari bersama di atas pentas, menambah lagi sakit hati peminat-peminat bolasepak tanah air.

Beliau juga menegaskan SOP dan garis panduan ketat sukar untuk dipatuhi di dalam mana-mana perlawanan bolasepak.

Justeru menurut Christopher, “Kita perlu adil daripada seluruh perspektif, kita faham hiburan mempunyai sektor ekonomi sendiri tetapi sukan juga mempunyai sektor ekonomi sendiri.

“Apa yang saya mahu katakan di sini adalah MKN sepatutnya membuat satu SOP yang boleh digunakan semua pihak. Kalau tidak boleh digunakan semua pihak, mungkin ada satu persamaan yang ketara untuk setiap industri.

“Seumpamanya, hiburan ada SOP mereka dan boleh digunakan kerana (menjana) ekonomi sendiri, maka kelonggaran juga perlu diberikan kepada sukan. Saya bukan berkata untuk bola sepak sahaja, ia mungkin melibatkan boling,  skuasy, badminton, ragbi dan sebagainya.”

Beliau memberikan contoh saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), J-League, Thai League serta perlawanan antarabangsa di Eropah tetap berjalan seperti biasa dengan pelaksanaan SOP dan garis panduan ketat, meskipun hampir 24,000 kes positif direkodkan di London sahaja pada Rabu.

“Kita memerlukan industri sukan kembali aktif dan tidak boleh berada dalam keadaan seperti ini kerana ia satu ancaman mental bukan sahaja buat pemain tetapi juga buat pegawai dan atlet yang berlatih cukup panjang tanpa sebarang kejohanan yang ada.

“Bayangkan Piala Malaysia kini dibatalkan, ia memberi kesan kepada pemain (ketua jurulatih skuad kebangsaan) Tan cheng Hoe untuk memulakan latihan kerana negara lain sudah bermula,” katanya.

Rujukan : Stadium Astro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.