Menang atau kalah lawan Bahrain, penyokong jangan cepat melatah!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad negara akan berdepan Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa di Manama, pada 12.30 pagi Sabtu, perlawanan terakhir sebelum beraksi dalam baki tiga perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ekspetasi tinggi diletakkan penyokong agar Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe boleh melakar kejutan ke atas Bahrain, pasukan di ranking ke-99 dunia, seterusnya mendapatkan tonik terbaik untuk berdepan Emiriah Arab Bersatu pada 3 Jun depan.

Begitupun, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali meminta penyokong Harimau Malaya supaya tidak melatah walau apa sahaja keputusan yang diraih pada perlawanan tersebut kerana perkara paling penting adalah memantapkan persiapan menjelang pusingan kelayakan.

Berita berkaitan : Nazzab yakin Harimau Malaya akan gagal di pusingan kelayakan jika tewas kepada Bahrain

“Bahrain lawan yang sangat sukar untuk dihadapi, mereka ada kelebihan fizikal. Bahrain lebih bahaya (berbanding Kuwait), kalau Malaysia dapat buat kejutan maka kita akan ada kelebihan moral untuk bertemu UAE.

“Pemain negara juga perlu bersedia dengan kepantasan pergerakan pemain Bahrain, mereka mempunyai kebolehan individu yang sangat baik dan mampu melepasi pertahanan dengan mudah.

“Pemain-pemain kita juga harus berwaspada terutama bahagian tengah kerana mereka sangat kreatif, hantaran mereka sangat tepat, jangan lakukan kesilapan dan beri ruang yang sangat besar kepada pemain tengah Bahrain, malah cuaca berbeza juga boleh memainkan peranan,” ujar Safee Sali dalam Nadi Arena.

Tambahnya lagi, pemain negara perlu bijak mencari ruang yang ada biarpun terhad dengan mempertaruhkan serangan balas.

“Pendekatan ini sangat sesuai untuk menentang Bahrain. Walaupun yakin untuk bermain dengan hantaran pendek tapi pemain negara jangan terlalu gopoh untuk menyerang. Pasukan Malaysia perlu mantap di bahagian belakang dan tengah.

“Kita mempunyai pemain pantas seperti Safawi (Rasid) atau Akhyar Rashid (gambar utama) jika diturunkan ketika kalau ada ruang di bahagian serangan,” katanya yang kini bermain dengan Kuala Lumpur City.

Untuk aksi menentang Bahrain, Tan Cheng Hoe tidak dapat menggunakan khidmat Guilherme De Paula, tetapi dia akan dapat diturunkan pada perlawanan menentang UAE. Selepas itu skuad negara akan menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Skuad negara ketika ini di kedudukan kedua Kumpulan G pusingan kelayakan dengan sembilan mata, dua mata di belakang Vietnam dan satu mata mengatasi Thailand.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.