“Menang Pingat Perak Bukti Pelaburan RM13 Juta Bukan Sia-Sia”

Pelaburan Azizulhasni Awang pelaburan RM13 juta bukan sia-sia
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Bukan pelaburan yang sia-sia,” demikian tegas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai pelaburan RM13 juta kepada skuad berbasikal negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Reezal Merican, memenangi pingat perak menerusi Datuk Azizulhasni Awang adalah hasil kepada pelaburan tersebut yang dianggapnya cukup berbaloi.

Sebelum ini ada mulut-mulut nakal yang mempertikai kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta untuk membantu persiapan Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom beraksi di temasya itu lantas menganggapnya satu pembaziran.

Azizulhasni dan Shah Firdaus menggunakan basikal WX-R Vorteq bernilai RM300,000 yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Sukan Negara dan syarikat berpangkalan di United Kingdom, TOTALSIM Ltd. sejak empat tahun lalu.

Basikal berkenaan diperbuat daripada bahan karbon fiber yang lebih keras, tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.

Reezal Merican menegaskan, pelaburan adalah perlu jika ingin menuai hasil.

“Kita nak lihat daripada segi inovasi bagaimana seperti yang telah dilakukan kepada Azizulhasni. Tumpuan dan juga pelaburan yang dilakukan alhamdullilah telah terbukti mendatangkan hasil.

“Kita sudah tentu mahu melihat setiap pelaburan yang dilakukan adalah pelaburan yang berbaloi dan kita tahu bahawa setiap kali kita nak dapatkan kejayaan, kita kena buat pelaburan,” ujar Reezal Merican.

Tambahnya, “Selepas Olimpik Tokyo, kita balik bukan untuk melihat perkara yang sama tetapi kita mahu melihat lebih banyak perubahan. Saya sedia untuk meyakinkan kerajaan supaya meneruskan pelaburan dalam sukan.

“Saya juga melihat pelaburan dalam sukan ini juga bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata. Tetapi semua ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Sebab itu saya akan meneroka modul, format dan metodologi baharu. Dari segi inovasi, saya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

“Sudah tentu beliau memahami keperluan untuk kita tingkatkan pencapaian dengan contoh negara luar sudah berjaya melakukannya melalui teknologi sukan, sains sukan dan inovasi. Saya yakin ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan mudah-mudahan kejayaan dapat dilakar,” jelas Reezal Merican.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.