Percayakah anda jika ada orang bolasepak, mengatakan tidak tahu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebagai persatuan bermasalah?
Itulah yang dikatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penajaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid.
“Sejujurnya kalau tahu KAFA banyak penyakit saya sendiri takkan sertai mereka, namun bila dah terlanjur ada di dalam tak kisah lah dia berlaku zaman bila, saya kerana Allah ikhlas untuk membantu semampunya,” ujar Muzakkir dalam satu screenshot perbualan wassap yang tersebar di facebook.
Kata-kata Muzakkir itu dilihat sebagai reaksi kepada kritikan penyokong yang mempersoalkan kegagalan pimpinan baru KAFA merubah nasib pasukan itu yang bergelut dengan masalah kewangan, malah terbaru terpaksa melancarkan tabung untuk mengutip sumbangan bagi membayar hutang lebih RM600,000 kepada bekas pemain import Cassio Francisco sepertimana diarahkan FIFA.
KAFA sudah cukup sinonim sebagai persatuan bermasalah sejak kira-kira empat atau lima tahun dulu.
Selepas berakhir era kegemilangan bolasepak Kelantan, terakhir pada 2015 di mana Kelantan berjaya mara ke final Piala FA (tewas kepada Lions XII), KAFA bergelut dengan pelbagai masalah dalaman terutama melibatkan masalah gaji dan hutang lain yang bertimbun.
Masalah dialami mereka diketahui ramai – penyokong mahupun penggiat bolasepak – dan ia memuncak apabila berlaku pertukaran pucuk pimpinan pada tahun 2017 yang menyaksikan Bibi Ramjani mencatat sejarah sebagai presiden wanita pertama KAFA.
Bibi Ramjani datang dan menambah lagi 1,001 masalah dek ceteknya ilmu pengurusan bolasepak. KAFA yang dulunya disanjung sebagai persatuan yang cukup gah menjadi bahan ketawa.
Jika dulu penaja datang berpusu-pusu sehingga jersi pun sudah kelihatan seperti papan iklan bergerak, di bawah pimpinan Bibi Ramjani ia berubah 360 darjah malah dia sering didesak melepaskan jawatan.
Kerana itu jugalah, pucuk pimpinan berubah sekali lagi. Diadakan Kongres Luar Biasa, Wan Rahim dan ahli jawatankuasa baru termasuk Muzakkir dipilih berada dalam saf pimpinan baru untuk merevolusikan semula bolasepak Kelantan, menukar status pasukan bermasalah.
Mereka masuk ke dalam KAFA dengan mengetahui penyakit yang bersarang di dalamnya, mereka masuk dengan mengetahui bebanan yang perlu ditanggung, mereka masuk ke dalam dengan menyedari besarnya hutang dan tunggakan gaji yang perlu dijelaskan.
Semua masalah dalaman dan ‘penyakit berangkai’ di dalam KAFA sudah dicanang kepada umum. Tan Sri Annuar Musa yang merupakan bapa transformasi bolasepak Kelantan sendiri akur dan undur diri kerana ‘habih geh’, Bibi Ramjani seorang usahawan batik yang berjaya juga undur diri kerana masalah yang bertimpa-timpa.
Jadi, untuk seseorang mengatakan tidak tahu KAFA banyak penyakit, selepas berada di dalam baru tahu, boleh diibaratkan sebagai kenyataan kelakar yang cuba menutup kegagalan.
Dan di kala KAFA sedang dilanda badai, hampir karam, tidak perlulah Muzakkir mahupun Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah berlumba-lumba memuji Wan Rahim yang belum membuktikan apa-apa, tumpukanlah kepada usaha menyelamatkan bolasepak Kelantan kerana masa anda semakin suntuk.
#LabolaMalaya
Foto : NSTP