Mengimbau 5 pertembungan terakhir Liga Super JDT dan Selangor

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim dan Selangor FC akan memperbaharui permusuhan apabila masing-masing berentap dalam aksi Liga Super pada 17 Mac di Stadium Sultan Ibrahim Larkin.

Kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 20 kali sejak 2013 hingga 2020 dengan 15 daripadanya adalah pertembungan di dalam saingan Liga Super manakala lima lagi dalam aksi Piala Malaysia dan Piala FA.

Secara keseluruhan rekod pertemuan memihak kepada JDT dengan pasukan itu melakar 10 kemenangan, Selangor FC pula empat kali dan enam lagi perlawanan berkesudahan seri. Labola Malaya mengimbau lima pertemuan Liga Super terakhir kedua-dua pasukan.

19 September 2020
JDT 6 – 1 Selangor 
Stadium Sultan Ibrahim Larkin

Satu-satunya pertemuan kedua-dua pasukan dalam musim pendek Liga Malaysia 2020 menyaksikan JDT berpesta gol dan menghampiri kejuaraan Liga Super kali ketujuh berturut-turut.

Safawi Rasid menjaringkan gol menerusi sepakan percuma untuk kedudukan 1-0 di separuh masa pertama sebelum menggandakan kedudukan menjadi 2-0 menerusi sepakan penalti di awal babak kedua. Diogo Luis Santo menjadikan kedudukan 3-0 selepas merembat kencang menewaskan Farizal Harun disusuli jaringan keempat oleh Gonzalo Cabrera.

Pemain gantian Ramadhan Saifullah kemudiannya mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol pantas minit ke-72 dan 74 untuk JDT selesa mendahului 6-0 sebelum Selangor FC mendapat jaringan saguhati menerusi Rufino Segovia. Kekalahan memalukan ini menyaksikan B.Sathinathan dipecat sebagai ketua jurulatih Selangor FC.

19 Jun 2019
JDT 3 – 2 Selangor
Stadium Larkin

Gonzalo Cabrera dan Leandro Velazquez menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-9 dan 11 untuk JDT mendahului 2-0 sebelum Khyril Muhymeen merapatkan jurang menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti di penghujung separuh masa pertama.

Safawi Rasid mengembalikan kelebihan dua gol buat harimau selatan menerusi jaringan pada minit ke-61. Selangor FC yang bermain dengan 10 pemain selepas K.Sarkunan dilayangkan kad merah mendapat jaringan saguhati pada minit terakhir menerusi sepakan penalti Sandro Da Silva.

Kemenangan membolehkan JDT mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga.

1 Mac 2019
Selangor 2 – 4 JDT
Stadium Shah Alam

Baru 15 minit perlawanan bermula di hadapan 21,000 penyokong, skuad gergasi merah kuning sudahpun ketinggalan 0-2  menerusi dua jaringan Diogo Luis Santo.

Endrick Dos Santos mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-31 namun Gonzalo Cabrera mengembalikan kelebihan dua gol buat JDT 10 minit kemudian, sebelum Rufino Segovia merapatkan jurang gol sekali lagi buat Selangor FC pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Hajat Selangor FC menterjemahkan kebangkitan bagaimanapun tidak kesampaian apabila JDT kental bertahan dan berjaya menambah satu lagi gol menerusi Leandro Velazquez pada minit ke-69.

12 Mei 2018 
Selangor 2-2 JDT
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur

Pertemuan kedua antara kedua-dua pasukan dalam tempoh 10 hari.

Pemain import baru JDT, Harry Novillo menjaringkan gol dalam penampilan sulung dan menyelamatkan maruah pasukan itu daripada tewas mengejut di tangan Selangor FC yang bergelut di zon penyingkiran.

JDT sebelum itu mendahului seawal minit kedua menerusi Gonzalo Cabrera namun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi jaringan lambung Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-14 selepas Farizal Marlias terkeluar daripada posisinya.

Rufino Segovia meletakkan Selangor FC di depan dua minit selepas itu namun Novillo memastikan JDT pulang dengan satu mata.

2 Mei 2018
JDT 2 – 0 Selangor 
Stadium Larkin

JDT melebarkan rekod kemenangan mereka kepada lima perlawanan berturut-turut selepas membenam Selangor FC yang menduduki tangga tercorot.

Skuad bimbingan Raul Longhi gagal memecah kebuntuan di babak pertama tetapi beroleh dua jaringan penting menerusi Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor di separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan ketujuh mereka dan mengukuhkan cengkaman di takhta Liga Super dengan 21 mata.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.