Mengimbau musim terbaik Terengganu FC dalam sejarah Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC mengharungi musim terbaik mereka dalam kancah Liga Super pada 2011 apabila menamatkan saingan di kedudukan kedua, memperbaiki pencapaian menduduki tangga ketiga setahun sebelum itu.

Skuad yang ketika itu dibimbing Irfan Bakti Abu Salim bersaing sengit dengan jiran pantai timur, Kelantan FC sehingga perlawanan terakhir musim untuk menentukan kejuaraan sebelum akur muncul naib juara dengan beza tiga mata.

Juara bertahan, Selangor FC pula menamatkan kempen di tangga ketiga, satu mata di belakang Terengganu FC yang mengumpul 53 mata.

Terengganu FC Liga Super 2011 Mengimbau musim terbaik Terengganu FC dalam sejarah Liga Super
Kedudukan lima teratas Liga Super 2011

Terengganu FC muncul pasukan menjaringkan paling banyak gol pada 2011, terima kasih kepada gandingan tiga serangkai Abdul Hadi Yahya-Abdul Manaf Mamat-Ashaari Samsudin yang mencipta sensasi sebagai trio barisan depan cukup disegani dalam arena bolasepak tanah air.

43 daripada 54 gol Terengganu FC musim tersebut disumbangkan trio berkenaan dengan Hadi Yahya muncul sebagai pemenang kasut emas setelah meledak empat gol pada aksi terakhir untuk menamatkan musim dengan 20 gol, satu mengatasi Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan FC).

Jangan lupa, itu adalah musim terakhir Liga Malaysia tanpa pemain import.

Labola Malaya membawa penyokong mengimbau perjalanan Terengganu FC sepanjang kempen musim 2011.

Terengganu FC memulakan saingan dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Sabah di laman sendiri, dan pada perlawanan kedua bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Kelantan 1-1 menerusi jaringan Marzuki Yusof pada minit ke-68 di Kota Bharu.

Skuad Irfan Bakti meraih kemenangan sulung pada aksi ketiga dengan menewaskan Perlis 3-1 di Kangar – Hadi Yahya dan Ashaari Samsudin menjaringkan gol di separuh masa pertama manakala Manaf Mamat melengkapkan kemenangan menerusi gol penalti di separuh masa kedua.

Selangor menghadiahkan Terengganu FC kekalahan pertama mereka pada aksi keempat setelah melakar kemenangan 3-2 di Stadium MPPJ.

Skuad Red Giants mendahului 3-0 menerusi jaringan Fadzli Shaari, Amri Yahyah dan Azidan Sarudin, sebelum sang penyu membalas menerusi penalti Ashaari Samsudin dan gol minit akhir Hadi Yahya.

Terengganu FC kembali ke landasan kemenangan setelah menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Kuala Terengganu dalam aksi kelima menerusi jaringan Hadi Yahya dan Ashaari pada setiap babak permainan.

Jaringan Hadi Yahya, Ismail Faruqi dan Ashaari kemudiannya membantu mereka membenam cabaran Johor FC 3-0 di laman sendiri pada perlawanan keenam, namun gagal meneruskan momentum apabila tewas 1-2 kepada Kedah dalam perlawanan berikutnya di Alor Star dengan gol tunggal mereka dijaringkan Reeshafiq Alwi.

Gol penyamaan Manaf Mamat membantu mereka bangkit mengikat Negeri Sembilan 1-1 di Paroi dalam aksi kelapan. Manakala dalam perlawanan kesembilan, Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan seawal minit keempat untuk menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Darulmakmur, menerusi jaringan Manaf Mamat dan Ashaari Samsudin.

Aksi kesepuluh, Terengganu FC menewaskan Harimau Muda 3-1 menerusi jaringan Ashaari, Hadi Yahya dan Ismail Faruqi di Kuala Terengganu, dan ia disusuli kemenangan 1-0 ke atas T-Team menerusi jaringan tunggal Hadi pada minit ke-47.

Mereka kemudian menewaskan Felda United 1-0 di laman sendiri, juga menerusi jaringan tunggal Hadi Yahya sebelum menamatkan aksi pusingan pertama dengan keputusan seri 1-1 menentang Perak di Ipoh dengan Hadi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Tamat 13 perlawanan pusingan pertama, Terengganu FC menduduki tangga kedua dengan 25 mata di belakang Selangor yang menerajui Liga Super dengan 29 mata manakala Kelantan di kedudukan ketiga dengan 24 mata.

Terengganu FC memulakan pusingan kedua dengan membelasah Perak 3-0 di Kuala Terengganu menerusi jaringan Hadi Yahya, Reeshafiq Alwi dan Joseph Kalang Tie, diikuti kemenangan 2-1 ke atas Sabah di Likas hasil jaringan Hadi dan Wan Alif Jasmi.

Mereka mengikat Selangor 1-1 pada perlawanan ke-16 menerusi jaringan Ismail Faruqi dan selepas itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perlis 3-1 yang mana Manaf Mamat menjaringkan dua gol manakala Ashaari meledak satu jaringan.

Pada perlawanan ke-18, Terengganu FC membelasah KL 4-0 menerusi dua jaringan Manaf Mamat dan satu masing-masing oleh Helmi Remeli dan Ashaari Samsudin.

Rekod tanpa kalah di pusingan kedua lebur di tangan Johor FC, apabila mereka tewas 1-2 di Pasir Gudang dengan gol tunggal dijaringkan oleh Manaf Mamat.

Jaringan oleh Hadi Yahya dan Ashaari Samsudin memacu kemenangan 2-1 ke atas Harimau Muda pada aksi ke-20 di Shah Alam – ketika ini Selangor tewas kepada T-Team dan persaingan kian sengit.

Perlawanan ke-21, Terengganu FC mengambil alih kedudukan pendahulu dari Kelantan selepas membelasah Negeri Sembilan 3-0 menerusi dua jaringan Manaf Mamat dan satu gol Ashaari Samsudin – (ketika ini Kelantan seri menentang Harimau Muda manakala Selangor tewas sekali lagi di tangan Pahang).

Mereka terus garang apabila membelasah Pahang 5-0 di laman sendiri dengan Hadi Yahya menjaringkan hatrik manakala Ashaari dan Manaf menjaringkan satu gol masing-masing – (Kelantan dan Selangor kedua-duanya tewas).

Ketika keyakinan sedang memuncak, Kedah bagaimanapun menjadi pengacau apabila jaringan oleh Baddrol Bakhtiar menghadiahkan Terengganu FC kekalahan 0-1 dan ia disusuli satu lagi kekalahan 0-3 kepada Kelantan – kedua-duanya di laman sendiri.

Dua perlawanan inilah yang sebenarnya menjadi titik tolak penting bagi Terengganu FC dalam pemburuan kejuaraan Liga Super 2011.

Mereka bangkit mengetepikan tentangan sengit T-Team 3-2 melalui jaringan kemenangan minit akhir Manaf Mamat dan menuju ke perlawanan terakhir dengan ketinggalan tiga mata di belakang Kelantan yang turut menang ke atas Perak.

Satu-satunya peluang untuk bergelar juara adalah mengharapkan ehsan Sabah untuk menewaskan Kelantan pada aksi terakhir manakala Terengganu pula perlu menang besar ke atas Felda United – mereka boleh muncul juara melalui beza jaringan.

Seperti yang dimahukan Terengganu menang besar 6-2 dalam aksi terakhir ke atas Felda United, Hadi Yahya menjaringkan empat gol manakala Reeshafiq Alwi dan Manaf Mamat menjaringkan satu gol tetapi impian kejuaraan musnah apabila dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha membantu Kelantan menewaskan Sabah 2-1.

Meskipun berputih mata pada saat akhir, itulah pencapaian terbaik Terengganu FC dalam sejarah penyertaan di Liga Super.

Senarai penuh skuad Terengganu FC 2011 :

Penjaga gol : Sharbinee Allawee, Shamirza Yusof, Shahril Sha’ari;
Pertahanan : Marzuki Yusof (kapten), Ronny Harun, Nik Zul Aziz Nawawi, Muhaimin Omar, Mazlizam Mohamad, Helmi Rameli, Hasmizan Kamaruddin, Hasan Basri Ahmad Ridzuan, Zubir Azmi
Tengah : Ismail Faruqi, Ahmad Nordin Alias, Reeshafiq Alwi, Joseph Kalang Tie, Ashaari Samsudin, Zharif Hasna, Safuan Adli
Penyerang : Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahya, Wan Mohd Alif Jasmi, Ailim Kamarudin

Senarai penuh penjaring :

(20) Abdul Hadi Yahya; (13) Manaf Mamat; (10) Ashaari Samsudin; (3) Ismail Faruqi, Reeshafiq Alwi; (1) Wan Alif Jasmi, Joseph Kalang, Marzuki Jusoh, Helmi Remeli, Ailim Fahmi


© Hakcipta Terpelihara Labola Malaya. Sebarang penerbitan semula tanpa izin akan diambil tindakan undang-undang.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.