Mental terganggu, hubungan dgn isteri retak, Naruphon heret Melaka ke FIFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertahanan import dari Thailand, Naruphon Wild Putsorn akhirnya hilang sabar dengan sikap berdiam diri Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Setelah sekian lama ‘memberi muka’, pemain itu yang telahpun meninggalkan Melaka United pada bulan lalu, akhirnya membuat keputusan membawa isu tunggakan gaji pasukan itu ke pengetahuan FIFA.

Gaji penuh terakhir diterimanya adalah pada bulan Februari, manakala pada bulan Mac hanya dibayar suku gaji sahaja.

Pemain yang mesra disapa Nazza itu memberitahu The Star Online, dia sebenarnya mahu kekal sehingga kontrak berakhir tetapi keputusan drastik terpaksa diambil disebabkan sikap tak endah MUSA.

“Saya berada dalam satu kedudukan dan situasi yang menjejaskan kewangan, mental dan kesihatan saya dengan teruk.

“Ia turut memberi tekanan kepada isteri saya yang mengandung dan membuatkan hubungan kami menjadi tegang.

“Peguam saya telah cuba berhubung dengan mereka (MUSA) dan menghantar surat rasmi bagi mencari solusi tetapi tiada jawapan.

“Mereka berterusan menabur janji tetapi tidak menunaikannya, jadi saya terpaksa ambil satu keputusan demi kegembiraan dan kesejahteraan keluarga saya,” ujar bekas pemain Buriram United dan Suphanburi itu.

Naruphon bagaimanapun berterima kasih kepada Zainal Abidin Hassan di atas peluang yang diberikan dan juga kerana memahami situasinya.

“Dia sebolehnya mahu saya kekal, begitu juga saya. Dia seorang yang suportif dan saya boleh kata saya cukup gembira mengenali pegawai dan pemain pasukan ini.

“Kami telah bersama sebagai satu pasukan dan sepatutnya boleh melakukan sesuatu yang hebat musim ini,” kata Naruphon yang kini belum ada pasukan.

APA GUNA ADA UNDANG-UNDANG

“Keluarga saya telah melalui separuh pertama 2020 yang cukup sukar dengan situasi yang melanda ini. Jadi saya memilih untuk luangkan dulu masa dan tunggu keadaan kembali tenang sebelum memikirkan mengenai masa depan.

“Perkara yang berlaku di luar padang sesuatu yang cukup menyeksakan dan saya tidak mahu ada pemain lain lalui situasi sama. Saya telah banyak belajar mengenai bolasepak Malaysia.

“Badan induk bolasepak dunia dan pengelola liga telah menetapkan undang-undang dan peraturan permainan. Jika ia tidak dikuatkuasa atau dipatuhi, pemain akan diambil kesempatan dan hidup mereka akan hancur,” tambahnya.

Seperti diketahui Melaka United telahpun dikenakan pemotongan tiga mata pada bulan Mac lalu kerana gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Mereka juga telah mendapat talian hayat daripada dipotong tiga lagi mata namun perkembangan terbaru ini bermakna sukar untuk mereka lari daripada dikenakan tindakan.

Jika masih terselamat, maka mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan FAM.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.