Menteri Belia dan Sukan

Menteri Tak Setuju NFDP Dipersalahkan Atas Kegagalan Berterusan Skuad B-23

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tidak wajar dikatakan sebagai gagal ataupun dikaitkan secara langsung dengan prestasi buruk skuad B-23 negara sepanjang tahun ini.

Skuad kendalian Brad Maloney mengalami malapetaka di Kejuaraan AFF B-23 pada Februari lalu apabila tersingkir awal setelah dua kali diaibkan Laos; kemudiannya cabaran di Sukan SEA 2021 berakhir di peringkat separuh akhir (tidak mampu untuk menewaskan Singapura, Kemboja, Vietnam dan Indonesia); dan terbaru menjadi lauk di Piala Asia B-23 setelah tewas semua perlawanan.

Jangankan Asia, dengan pasukan Asia Tenggara pun skuad ini tidak mampu untuk bersaing, tiada sikitpun keterujaan atau keghairahan apabila melihat pasukan ini beraksi, manakala level pemain-pemain pula sekadar level liga tempatan sahaja.

Memandangkan rata-rata pemain dalam skuad ini adalah Produk NFDP ataupun lepasan Akademi Mokhtar Dahari, maka ramai yang menuding jari kepada program itu kerana gagal untuk melahirkan pemain berkualiti tinggi.

Malah ada juga pemerhati yang melabel NFDP sekadar buat program asalkan ada, dan bukannya untuk memajukan bolasepak.

“Kita buat program untuk adakan bola sepak semata-mata, tidak memajukan (bola sepak). Pemilihan pemain, silibus, kita ada pakar dari luar negara tetapi kita tidak nampak pemindahan pengetahuan itu berlaku. Jadi apa yang kita dapat selepas bayar mahal-mahal?

“Pemain ini adalah ‘end product’ daripada NFDP sendiri. Selepas kita melihat prestasi skuad B-23, kita tengok mereka tidak setanding dan bukan kata tahap Asia, tahap ASEAN pun kita belum mampu capai.

“Kita tengok di mana mereka berlatih. Ada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan ada di Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) atau Akademi Tunas (AT) tetapi semuanya di bawah NFDP.

“Antara perkara paling serius adalah pendedahan terhadap pertandingan kompetitif untuk liga di bawah NFDP yang menghasilkan pemain B-23. Mungkin ada yang katakan alasan COVID-19 tetapi Korea Selatan, Thailand dan Vietnam berdepan situasi sama.

“Dari mana pasukan ini dapat pemain yang berbakat sampai mereka berjaya ‘pukul’ pemain kita pada saingan AFC dan Sukan SEA? Saya fikir NFDP boleh melihat semula struktur pertandingan supaya cukup matang untuk berdaya saing di peringkat ASEAN dan Asia.

“Mungkin ada yang katakan NFDP berjaya melahirkan banyak pemain dan mereka menyertai pasukan di Liga Super ataupun Liga Perdana. Tetapi kalau (kerja) cukup bagus, kenapa kita kena hentak sampai 4-1 dengan Korea Selatan, 3-0 dengan Thailand?

“Jadi kita kena buat sesuatu segera mungkin supaya ada harapan untuk mengharungi mana-mana kejohanan selepas ini. Saya juga mahu menekankan tiada istilah pendedahan untuk skuad B-23.

“Pendedahan adalah untuk peringkat bawah usia. Memang betul kita perlu beri pendedahan tetapi bagi skuad B-23, pendedahan itu bermaksud untuk menang dan bukan setakat penyertaan.

“Harus diingat program ini sudah menelan ratusan juta ringgit, jadi sudah tentulah kita mahu melihat pulangan yang berbaloi dan memberi impak kepada bola sepak kita.” kata Tenaga Pengajar Elit AFC, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.

Ia bagaimanapun pendapat yang tidak dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menekankan bahawa semua pihak perlu memahami objektif penubuhan PPBN adalah bagi mencungkil bakat muda bertaraf antarabangsa untuk diketengahkan kepada kelab bola sepak di negara ini dan kelab seharusnya terus menggilap bakat-bakat berkenaan.

“Produk daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mempunyai kebolehpasaran 100 peratus, di mana mereka akan disunting dan ditandatangani oleh kelab untuk bermain. Jadi ianya menjadi peranan kelab berkenaan bagi memastikan atlet mempunyai masa bermain yang cukup.

“Sekiranya prestasi atlet menurun, saya fikir tidak sesuai untuk menuding jari kepada barisan jurulatih di AMD… mungkin (setakat ini) kita masih belum mampu melahirkan pemain seperti Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo, namun banyak kejayaan kecil yang saya nampak,” ujarnya.

Dengan prestasi buruk yang telah ditunjukkan sepanjang tahun ini, masa depan Brad Maloney masih lagi samar, walaupun dia sebelum ini ada menyatakan bahawa mahu kekal membimbing skuad ini untuk bermain di kelayakan Olimpik Paris 2024.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.