Menyelami sebab Cheng Hoe pilih Akhyar berbanding Hakimi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tan Cheng Hoe mengumumkan senarai 25 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi baki aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Sepertimana dijangka, pemain Johor Darul Takzim mendominasi senarai panggilan, seramai 13 pemain harimau selatan disenaraikan dengan bintang muda Arif Aiman Hanapi menjadi tambahan terbaru.

Selain Arif Aiman, dua lagi pemain iaitu Liridon Krasniqi (pemain JDT yang dipinjamkan ke Newcastle Jets) dan penjaga gol Pulau Pinang, Samuel Sommerville turut disenaraikan buat kali pertama.

Begitupun, tindakan Tan Cheng Hoe menyenaraikan nama-nama seperti Irfan Zakaria dan Akhyar Rashid jelas mengundang pertikaian dan rasa kecewa penyokong bolasepak tempatan.

Irfan Zakaria tidak menyerlahkan prestasi terbaiknya bersama Kuala Lumpur City pada musim ini manakala Akhyar Rashid pula tidak beraksi secara regular, mungkin minit permainannya boleh dikira dengan jari.

Ramai berpendapat tempat Irfan Zakaria sepatutnya boleh diisi oleh pertahanan Kedah Darul Aman, Rodney Celvin Akwensivie manakala bintang muda Terengganu FC yang semakin meningkat naik Hakimi Abdullah pula tanpa ragu, lebih bagus berbanding Akhyar Rashid.

Jika prestasi semasa diambil kira, maka Rodney dan Hakimi Abdullah adalah pilihan nyata, jadi kenapa Tan Cheng Hoe begitu ‘sayang’ mahu menggugurkan Akhyar Rashid, adakah terdapat sebarang sentimen?

Mungkin alasan paling relevan boleh diberikan oleh Tan Cheng Hoe adalah dia tidak mempunyai banyak masa untuk memeningkan kepala menguji ramai muka baru.

Kesemua pemain akan melapor diri di kem latihan pada 16 Mei dan terbang ke Dubai pada 20 Mei untuk aksi persahabatan menentang Kuwait pada 23 Mei. Harimau Malaya kemudiannya akan menentang Bahrain di Manama pada 25 Mei.

Secara kasar Tan Cheng Hoe mempunyai masa lebih kurang dua minggu sahaja untuk persiapan (termasuk aksi persahabatan) sebelum turun menentang Emiriah Arab Bersatu (3 Jun) dalam perlawanan kelayakan.

Tan Cheng Hoe pernah memberitahu sebelum ini, dia tiada masa untuk bereksperimen dengan memanggil terlalu ramai pemain ke kem latihan apatah lagi mana-mana pemain perlu segera menyesuaikan diri dengan sistem latihan dan cara permainan yang dimahukannya.

Jika kita memahami apa yang disampaikan, memang susah untuk Tan Cheng Hoe menguji banyak kombinasi dalam masa begitu singkat – dia telah memanggil Arif Aiman, Liridon Krasniqi dan Junior Eldtal sebagai wajah baru.

Guilherme De Paula dan Luqman Hakim juga boleh dianggap wajah baru kerana sebelum ini mereka cuma berada di dalam kem selama tujuh hari sahaja pada bulan Mac lalu.

Jadi dalam hal ini, apabila sudah ada beberapa wajah baru, sudah tentu sukar untuk Tan Cheng Hoe menggugurkan Akhyar Rashid, seorang pemain yang telah lama berlatih di bawahnya dan memahami kehendaknya, sudah ada persefahaman dengan rakan sepasukan lain, ditambah pula faktor pemain itu mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa sebelum ini.

Mempunyai terlalu ramai pemain baru yang belum memahami ataupun serasi antara satu sama lain pastinya bukan pilihan untuk Harimau Malaya pada waktu ini, kerana kita bukan pergi untuk perlawanan eksperimen tetapi masih dalam landasan untuk untuk melakar kejutan mara ke pusingan seterusnya.

Hakimi Abdullah adalah prospek masa depan, mungkin waktu ini bukan waktu sesuai untuk pemain kelahiran Kelantan ini untuk berada di dalam skuad Harimau Malaya namun sudah tentu masanya akan tiba.

Foto kredit : Goal.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.