Mesut Ozil berjanji akan tetap bersuara demi kemanusiaan dan keadilan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mesut Ozil meluahkan kekecewaan di atas keputusan Mikel Arteta tidak menyenaraikan namanya dalam skuad 25 pemain Liga Perdana Inggeris.

Baru-baru ini namanya juga tiada dalam senarai yang didaftarkan untuk bermain di Europa League, sekaligus bermaksud hasrat penyokong melihat kelibatnya dalam jersi the gunners sudah tertutup.

Pelbagai tanggapan dan teori timbul mengenai nasib yang menimpa pemain Jerman itu; ada yang mengaitkan dengan keengganan menerima potongan gaji, ada yang mengatakan kerana selalu berselisih pendapat dengan pengurusan, ada yang kata kerana malas dan tidak komited serta tidak menunjukkan atitud yang baik.

Tetapi rasanya umum sudah mengetahui bahawa Mesut Ozil pada hakikatnya dihukum oleh pengurusan dek kerana kelantangannya mengkritik penindasan terhadap etnik islam Uighur di China pada tahun lalu.

Pendirian Mesut Ozil menimbulkan kemarahan jutaan penyokong Arsenal di China, ada yang membakar jersinya, manakala beberapa perlawanan membabitkan Arsenal dibatalkan stesen televisyen negara itu.

Arsenal telah meminta maaf malah menyatakan bahawa kenyataan Mesut Ozil itu tidak melambangkan pendirian kelab, tetapi pemain itu kemudian membidas pengurusan kerana tidak mempertahankannya.

Bagi Mesut Ozil, biar apapun layanan diterima, atau apa jua keputusan diambil pengurusan ke atasnya, tidak akan sesekali mengubah pendiriannya dan dia berjanji akan terus bersuara demi kemanusiaan dan keadilan.

“Saya sentiasa cuba untuk kekal positif dari minggu ke minggu dengan harapan akan mendapat tempat semula di dalam skuad, sebab itulah saya tidak bersuara (apabila disisihkan) tetapi kini saya sudah tidak dibenarkan bermain dengan pasukan, apa lagi boleh saya katakan.

“London masih lagi seperti rumah saya, saya masih ada kawan baik di dalam pasukan dan saya boleh rasa ada hubungan yang cukup baik dengan penyokong pasukan ini.

“Apa sekalipun saya akan terus berjuang untuk tempat saya di dalam pasukan dan tidak akan sama sekali membiarkan musim kelapan saya bersama pasukan ini berakhir seperti ini.

“Saya juga berjanji hukuman ke atas saya ini tidak akan mengubah apa-apa di dalam pendirian saya – saya akan berlatih sebaik mungkin dan bersuara menentang ketidakmanusiaan dan memperjuangkan keadilan di mana diperlukan,” ujar pemain itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.