Mesut Ozil tawar diri tanggung gaji penuh Gunnersaurus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Arsenal Mesut Ozil menawarkan diri untuk menanggung jumlah penuh bayaran gaji diterima Gunnersaurus, untuk memastikan maskot dinousaur itu kekal bersama kelab London itu.

“Saya cukup sedih untuk mendapat tahu Jerry Quy ataupun maskot gunnersaurus kita yang sangat popular dan setia, serta merupakan sebahagian daripada kelab ini terpaksa meninggalkan kelab selepas 27 tahun.

“Justeru itu, saya menawarkan untuk membayar balik kepada Arsenal jumlah gaji penuh yang akan diterima olehnya selagi saya merupakan pemain Arsenal supaya Jerry boleh meneruskan tugasan yang sudah menjadi sebahagian daripada dirinya ini,” kata Mesut Ozil.

Terdahulu, pengurusan Arsenal dikecam hebat selepas mengumumkan mengenai pemecatan penyokong setia pasukan itu Jerry Quy yang menyarung maskot gunnersaurus sejak 27 tahun lepas (1993) atas alasan mahu mengecilkan kos operasi kelab.

Berita itu diumumkan Arsenal pada Selasa, beberapa jam sebelum mereka mengumumkan pembelian pemain tengah bertahan Thomas Partey dari Atletico Madrid dengan nilai perpindahan £45 juta, dan ditawarkan gaji £250,000 seminggu.

Justeru keputusan memecat Gunnersaurus ternyata tidak dapat diterima oleh penyokong mereka dan dianggap sebagai alasan yang tidak masuk akal.

Mesut Ozil sendiri tidak dapat lari daripada terkena tempiasnya apabila beberapa bekas pemain, pengkritik serta penyokong mula mempersoalkan gaji £350,000 seminggu dibayar kepadanya sekadar untuk ‘goyang kaki’ di rumah.

Umum mengetahui Mesut Ozil sudah tidak lagi berada dalam perancangan Mikel Arteta malah dia tidak beraksi dalam satu pun perlawanan Arsenal sejak saingan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung pada Jun lalu.

Musim 2020/2021 yang bermula pada September tempoh hari juga menyaksikan Mesut Ozil kekal disisihkan, dan tidak berada dalam skuad meskipun sebagai pemain simpanan.

Malah, ketika semua pemain Arsenal bersetuju untuk menerima potongan gaji disebabkan pandemik Covid-19 pada bulan Jun lalu, Mesut Ozil satu-satunya pemain yang tidak bersetuju sehingga diselar sebagai pentingkan diri walaupun dia mempunyai alasan tersendiri untuk kekal dengan pendirian itu.

Sebagai rekod, pemain Jerman itu menyertai Arsenal pada hari terakhir jendela perpindahan musim 2013/2014 dengan nilai £42.5 juta yang seterusnya menjadi rekod perpindahan termahal kelab ketika itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.