MFL Beri Kemenangan Percuma Jika Ada Kes Positif Covid-19

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada lagi tangguh perlawanan jika ada kes positif Covid-19 sepanjang berlangsungya saingan Piala Malaysia.

Sebaliknya Malaysian Football League akan bertindak lebih tegas dengan memberikan kemenangan percuma kepada pasukan lawan sekiranya ada kes positif COVID-19 dilaporkan dalam mana-mana pasukan seterusnya menyebabkan keseluruhan skuad diarah menjalani kuarantin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam memberitahu itu adalah peraturan baru yang sudah dimaklumkan kepada semua pasukan dan mereka memahami peraturan tersebut.

“Selepas perlawanan kedua Piala Malaysia, ada rehat (antarabangsa) yang panjang disebabkan kem skuad kebangsaan. Bukan salah pasukan kebangsaan atau sesiapa, dan pemain kebangsaan juga perlu kuarantin selama 14 hari selepas kembali dari luar negara.

“Dalam kesukaran kalendar kebangsaan yang sangat singkat dan untuk menghormati pembabitan pasukan lain serta obligasi bagi menghabiskan pertandingan buat penaja, kita perlu laksanakan (peraturan baharu).

“Bagi MFL, kita tahu COVID-19 ini bukan diminta oleh sesiapa, sebab itu kelonggaran sudah diberikan pada awal. Namun, disebabkan kekangan masa atau kalendar pertandingan, kita terpaksa melaksanakan peraturan ini,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Stuart menjelaskan perlawanan bagi pasukan yang terdapat kes COVID-19 boleh diteruskan sekiranya kerajaan membenarkan hanya individu yang positif virus itu sahaja perlu kuarantin.

“Saya fikir pasukan pun faham sebab kalendar singkat dan kontrak pemain pun sudah nak tamat. Jika pertandingan ditangguhkan atau dilanjutkan, kita akan berdepan masalah undang-undang berkaitan kontrak pemain yang turut akan membabitkan pasukan lain.

“Kita pun kena tengok kepada pembabitan pasukan lain, kerana satu pasukan (yang berdepan kes COVID-19), kita tak boleh tangguhkan keseluruhan pertandingan Piala Malaysia,” katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini dalam saingan Liga Super dan Liga Premier, jadual perlawanan terpaksa dirombak beberapa kali berikutan kes positif Covid-19 membabitkan pasukan Kedah Darul Aman, Kuching City dan Kelantan United.

Saingan Piala Malaysia 2021 dijadual bermula pada 25 September dan berakhir pada bulan November.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.