MFL, FAM Tepis Dakwaan Faizal Azumu, Liga Super Kekal Format Sama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gara-gara kenyataan dibuat Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Faizal Azumu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) terpaksa tampil dengan kenyataan balas untuk menjernihkan keadaan.

Faizal Azumu yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dalam satu video yang tular menyatakan bahawa beliau akan berjumpa dengan MFL bagi membincangkan mengenai pertambahan jumlah pasukan di dalam Liga Super musim depan, yang sekaligus berpotensi menyelamatkan Perak FC daripada tersingkir ke Liga Premier.

Malah, Faizal Azumu juga menyatakan bahawa Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) dan Stuart Ramalingam (bakal CEO baru MFL) ada membincangkan perkara itu dengannya sebelum ini.

Ia jelas menimbulkan kemarahan penyokong, kerana beranggapan Perak FC akan terus kekal bermain di Liga Super dengan menggunakan ‘kabel politik’ sekaligus menyaksikan mereka kekal satu-satunya pasukan yang tidak pernah langsung tersingkir ke Liga Premier.

Baca : Faizal Azumu Akan Bincang Dengan MFL Potensi Perak Kekal Di Liga Super

Bagaimanapun Stuart Ramalingam menyangkal dakwaan tersebut, menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh FAM, sama ada menerusi Presiden atau Setiausaha Agungnya dengan mana-mana pihak lain.

“FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Premier serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa MFL dan ahli-ahli lembaga pengarahnya.”

Sementara itu, MFL pula mengumumkan bahawa format kenaikan dan penyingkiran Liga Malaysia bagi musim 2021/2022 masih kekal seperti biasa.

“Format Liga Super 2021 akan kekal di mana sebanyak 12 pasukan dalam satu pertandingan dan dua pasukan tercorot akan tersingkir ke saingan Liga Premier pada tahun 2022.

“Sementara juara dan naib juara Liga Premier musim 2021 pula akan bermain dalam kempen Liga Super 2022 seperti mana yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia edisi 2021 bagi format Liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.