MFL jawab keluhan Karsten Neitzel berhubung jadual Liga Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysian Football League (MFL) tampil menjawab keluhan yang disuarakan pengendali Selangor Karsten Neitzel berhubung tarikh sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac yang dianggap sebagai tidak relevan memandangkan setiap pasukan cuma mempunyai tidak sampai tiga minggu untuk menjalani latihan.

Baca : Karsten Neitzel – ‘Tiga minggu mana cukup, ini bukan cara professional’

Badan pentadbir itu menegaskan keputusan Liga Malaysia untuk bermula pada tarikh yang ditetapkan itu adalah demi kepentingan kelangsungan aksi domestik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan ini dicapai selepas mendapat pandangan dan persetujuan daripada Rakan Kongsi Liga menerusi mesyuarat dalam talian bersama CEO-CEO kelab semalam.

Jelas Dato’ Ab Ghani, MFL selaku pengelola Liga Malaysia amat memahami beberapa kekangan selepas menyedari persiapan setiap kelab sedikit tergendala untuk menghadapi musim baharu.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa keputusan sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac 2021 adalah langkah terbaik buat masa ini demi memberikan laluan kepada pasukan kebangsaan yang bakal beraksi pada kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di samping survival industri bola sepak domestik selepas mendapat persetujuan daripada CEO-CEO kelab.

“Perkara berhubung sepak mula Liga Malaysia bermula 5 Mac 2021 adalah keputusan relevan buat masa ini dan perkara ini telah mendapat sokongan daripada setiap wakil kelab ketika mesyuarat dalam talian bersama CEO-CEO kelab semalam.

“Untuk makluman, pasukan negara meminta untuk membuat persiapan akhir dengan mengadakan sesi latihan pusat pada bulan depan selepas perlawanan kelayakan dipinda ke Jun depan. Ini penting memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini sudah setahun tidak berlatih bersama.

“Perjuangan pasukan kebangsaan adalah agenda nasional di mana wakil-wakil kelab berasa bertanggungjawab dalam memastikan Harimau Malaya berada dalam landasan terbaik untuk mendapat slot automatik ke pentas Piala Asia 2023.

“Kedua, MFL komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh (22 perlawanan) di mana kami tidak mahu mengambil risiko yang akan memberikan kesan kepada penajaan selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Piala Cabaran terpaksa diambil jika kalendar Liga Malaysia bermula lebih lambat.

“Selain faktor cuti perayaan umum, tarikh-tarikh kejohanan Liga Juara-Juara Asia (AFC) melibatkan Johor Darul Ta’zim pada 21 April 2021 sehingga 7 Mei 2021 dan kejohanan AFC secara berpusat yang melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC pada 22 Jun 2021 sehingga 28 Jun 2021 turut diambil kira. Jadi adalah sukar untuk MFL menunda lagi tarikh sepak mula Liga Malaysia 2021 kerana ia jelas akan menjejaskan perjalanan kalendar pertandingan musim ini.

“Apa yang mustahak, keputusan ini dicapai selepas mendapat persetujuan daripada setiap wakil kelab dan di pihak MFL, kami akan sentiasa berusaha untuk memastikan perjalanan kalendar Liga Malaysia berjalan dengan lancar terutama ketika berlangsung dalam pandemik
COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.