MFL Luluskan Permintaan Kedah Tunda Aksi Lawan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysian Football League (MFL) telah meluluskan pindaan perlawanan di antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kedua-dua kelab itu telah bersetuju mencapai kata sepakat menunda aksi tersebut kepada satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan selepas perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya telah menerima permohonan daripada Kedah pada 12 Mei 2022 bagi meminda perlawanan bertemu JDT yang sepatutnya berlangsung pada 19 Jun 2022 kepada satu tarikh baharu.

MFL memajukan permintaan tersebut kepada JDT dan telahpun menerima maklum balas positif daripada kelab harimau selatan itu yang menyokong pertukaran jadual bagi memberikan KDA FC lebih banyak masa membuat persiapan yang diperlukan sebelum turun bermain dalam saingan Kumpulan G Piala AFC dan sekali gus berharap skuad Sang Kenari itu dapat menggalas cabaran selaku kelab Malaysia di peringkat Asia dan melakukan yang terbaik dalam pertandingan tersebut

Justeru, Stuart menegaskan bahawa MFL akan sentiasa memberikan bekerjasama kepada kelab-kelab iaitu JDT dan KDA termasuk Kuala Lumpur City FC yang bermain di kejohanan kompetitif Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

Sebagai rekod, JDT akan bertemu Urawa Red Diamonds dalam aksi 16 pasukan terbaik ACL (18 Ogos 2022) sementara KDA dan KL City masing-masing bermain di Kumpulan G dan Kumpulan H bagi kempen Piala AFC.

“MFL telah meluluskan permohonan KDA bagi pindaan jadual perlawanan tersebut setelah mengambil kira KDA akan menyertai pertandingan Piala AFC 2022 bermula 24 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022 di Denpasar, Bali, Indonesia.

“Keputusan ini juga merupakan persetujuan bersama dengan JDT yang menyokong pindaan ini bagi memberi ruang kepada KDA untuk membuat persediaan bagi menghadapi pertandingan tersebut.

“Sudah pasti MFL sentiasa akan memberikan kerjasama kepada pasukan-pasukan yang bertanding di peringkat tertinggi seperti ACL dan Piala AFC dalam memastikan wakil kelab negara mendapat persiapan secukupnya ketika bertanding nanti,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Namun tarikh perlawanan yang dipindaan akan ditentukan hanya selepas keputusan peringkat kumpulan Piala AFC nanti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.