MFL tak teragak-agak potong mata, beri kemenangan percuma kepada pasukan lawan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bergson da Silva cuba melepasi kawalan Carli De Murga ketika aksi antara JDT dan Terengganu pada 24 April lalu. Foto : Johor Southern Tigers


Malaysian Football League (MFL) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pasukan yang cuai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Liga Malaysia sehingga menyebabkan berlakunya penularan wabak Covid-19.

17 April lalu arena sukan tanah air digemparkan dengan berita enam pemain badminton kebangsaan diuji positif Covid-19 sebelum jumlah itu kemudiannya bertambah kepada 15 orang berdasarkan perkembangan terkini.

Ini memaksa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menangguhkan dulu sesi latihan sehinggalah keadaan benar-benar selamat untuk mereka kembali berlatih.

Justeru itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Abdul Ghani Hassan tidak mahu situasi itu turut menimpa arena bolasepak lantas meminta setiap pasukan memastikan pemain mereka sentiasa berada dalam gelembung sukan supaya tidak terdedah dengan jangkitan Covid-19.

“Penting untuk setiap pasukan mengingatkan pemain mengelak berada di tempat sesak seperti bazar Ramadan, pusat beli-belah atau majlis keraian bagi mengelak daripada dijangkiti.

“Apa yang berlaku kepada pemain badminton itu perlu dijadikan peringatan buat semua pasukan dan pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia.

“Kita tidak mahu Liga Malaysia pula terkena disebabkan oleh kes Covid-19 atau ada perlawanan yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik ini.

“Jika terdapat pemain yang gagal patuhinya hingga disahkan positif serta mengakibatkan perlawanan tidak dapat dijalankan, kita tidak teragak-agak untuk memotong mata atau beri kemenangan percuma kepada pasukan lawan,” katanya kepada Sukan Arena.

Sebagai rekod, selepas hampir dua bulan Liga Malaysia bermula, belum ada sebarang kes membabitkan kluster bolasepak dilaporkan dengan kesemua pasukan didapati mengikut SOP ditetapkan dengan penuh tanggungjawab.

Pada tahun lalu, MFL membuat keputusan memendekkan saingan Liga Super dan Liga Premier kepada hanya satu pusingan sahaja, manakala saingan Piala Malaysia dan Piala FA pula dibatalkan disebabkan penularan wabak Covid-19.

Untuk tahun ini, sekali lagi Piala FA telah dibatalkan sebelum musim bermula manakala saingan liga pula sudahpun tiba ke pertengahan musim.

Tinggal beberapa aksi sahaja lagi akan berlangsung di bulan Ramadan sebelum liga berhenti rehat bagi memberi laluan kepada persiapan pasukan kebangsaan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.