MFL Tolak Permintaan Terengganu FC, Jawapan Sudah Diberi Lebih Awal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC mengesahkan mereka telah menerima maklumbalas daripada Malaysian Football League (MFL) berhubung permintaan untuk meminda jadual perlawanan mereka yang sebelum ini disifatkan tidak adil kerana perlu bermain tiga perlawanan di bulan Ramadhan serta tiga perlawanan terakhir Liga Super secara berturut-turut di tempat lawan.

Kelab pantai timur itu juga memohon maaf kerana salah faham yang timbul bahawa kononnya MFL buat diam mengenai permintaan mereka sedangkan badan itu telahpun memberi jawapan lebih awal menerusi e-mail rasmi.

“Pihak TFC memohon maaf berkenaan ada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak TFC (pengurus pasukan) yang menyatakan belum menerima maklumbalas berkenaan permohonan tersebut.

“Walaubagaimanapun, permohonan tersebut ditolak dengan pertimbangan mengambikira perlawanan-perlawanan tertunda yang perlu dibuat penjadualan semula akibat COVID19.

“Oleh yang demikian, jadual yang dikeluarkan sebelum ini melibatkan TFC bermain tiga perlawanan berturut-turut bulan puasa dan tiga perlawanan terakhir ditempat lawan dikekalkan dan masih berkuatkuasa,” ujar CEO Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh dalam satu kenyataan.

Berita Berkaitan : Mengapa MFL Membisu Terhadap Bantahan Dikemuka Terengganu FC?

Beliau bagaimanapun berharap penyusunan semula jadual masih boleh dipertimbangkan MFL.

“Namun begitu, setelah pindaan peraturan baru berkenaan protokol COVID19 yang dikeluarkan MFL iaitu tiada lagi penundaan perlawanan meskipun pegawai dan pemain dijangkiti COVID19 melebihi 50 peratus dan pasukan hendaklah menyenaraikan pemain daripada Reserve Team (Feeder), Piala Presiden dan Belia bagi meneruskan perlawanan, maka, kerjasama dan jasabaik MFL adalah diharapkan dengan peraturan protokol COVID19 yang dikuatkuasakan ini, penyusunan semula jadual mampu dan boleh dipertimbangkan semula berselangseli dengan mengambilkira bebanan perlawanan berturutan di tempat lawan melibatkan pasukan TFC.”

Mengikut jadual dikeluarkan MFL, Terengganu FC akan menentang Pj City di Petaling Jaya pada 6 April, disusuli menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 April dan kemudiannya Sarawak United pada di Kuching pada 16 April.

Satu-satunya perlawanan mereka di laman sendiri pada bulan puasa adalah menentang Selangor pada 22 April.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.