MKN tolak permohonan MFL

MFL pinda jadual terutama babitkan pasukan KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Permohonan Malaysian Football League agar hanya pegawai dan pemain yang didapati positif COVID-19 sahaja perlu dikuarantin, ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Abd Ghani Hassan.

“Keputusan MKN untuk menolak permohonan MFL dibuat selepas mengambil kira kes harian COVID-19 yang semakin serius dan menular semakin cepat dalam negara masa kini.

“Justeru, MFL akur dengan keputusan MKN di mana individu yang didapati positif wajib menjalani Prosedur Operasi Standard (SOP) selama 14 hari bagi memastikan mereka sembuh dan mengelak daripada penyebaran COVID-19 dalam pasukan.

“Jadi pemain-pemain yang kontak rapat (tidak positif) pula dikehendaki menjalani kuarantin 10 hari di mana mereka tidak dibenarkan menjalani sesi latihan sepanjang tempoh kuarantin.

“MFL berharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dan meningkatkan tahap kepatuhan SOP COVID-19 bagi memastikan tiada kes berlaku lagi selepas ini demi menjamin kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Dato’ Ab Ghani berkata, keputusan MKN itu juga menjadi faktor MFL terpaksa membuat sedikit pindaan pada jadual Liga Super dan Liga Premier 2021, terutamanya merujuk kes membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Kuching City FC (KCFC) yang perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari apabila pemain dan pegawai mereka telah disahkan positif COVID-19 sebelum ini.

Menurutnya, pindaan jadual perlu dilakukan bagi memberi keseimbangan serta menjaga integriti saingan Liga Malaysia selepas lima perlawanan Liga Super melibatkan KDA dan tujuh perlawanan Liga Premier membabitkan KCFC terpaksa ditunda susulan kes COVID-19.

“Pindaan jadual perlawanan Liga Super dan Liga Premier adalah bertujuan memberi keseimbangan kerana jika pindaan tidak dilakukan, keputusan kedudukan liga hanya akan diketahui selepas perlawanan tertunda KDA dan KCFC berakhir jadi pada MFL ini adalah situasi yang tidak baik kepada persaingan liga.

“Menerusi pindaan terbaharu ini, perlawanan-perlawanan tertunda yang melibatkan pasukan KDA dan KCFC akan dijalankan di antara hari-hari perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang telah ditetapkan.

“Maka dengan itu, perlawanan terakhir liga iaitu Liga Premier ke-22 dan Liga Super ke-22 akan dijalankan secara serentak dan ia berlangsung pada hari yang berbeza termasuk melibatkan pasukan KDA dan KCFC.

“Ini akan memberikan keadilan dalam penentuan kedudukan pasukan dalam liga yang turut merupakan Kelayakan Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC, TM Piala Malaysia, Challenge Cup termasuk penentuan kenaikan dan penyingkiran pasukan musim depan di mana pindaan terhadap Jadual Liga Super dan Liga Premier turut menyebabkan tarikh undian Piala Malaysia dan Challenge Cup dipinda,” ujarnya.

Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga Malaysia 2021, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos 2021 manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos 2021 sehingga 12 September 2021.

Sementara bagi Liga Premier, aksi ke-18 berlangsung pada 15 Ogos 2021 dan pindaan berlaku pada perlawanan ke-19 sehingga 22 di mana ia akan berlangsung pada 20 Ogos 2021 sehingga 18 September 2021.

Muat turun jadual terkini Liga Super 2021 dan Liga Premier 2021.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.