‘Monster mentality’ Brendan Gan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tonggak tengah Selangor, Brendan Gan nampaknya sudah bersedia memberikan sesuatu yang lebih kepada Selangor dalam saingan Liga Malaysia yang akan kembali bersambung pada 26 Ogos depan.

Pemain itu memberitahu selepas mendapat tahu tarikh sambungan liga, dia sudah menerap mentaliti untuk all-out dalam sesi latihan selain berpendapat kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos dapat membantu majoriti pemain kembali serasi dengan taktikal diserapkan jurulatih.

“Tarikh 26 Ogos ini tidak banyak berbeza daripada 1 September, jadi saya rasa perbezaan selama lima hari ini boleh diterima serta tidak terlalu mengganggu apa yang sudah dirancang oleh pasukan.

“Sebenarnya dalam peringkat ini, saya dan pemain lain sudah kena tingkatkan kerja keras dalam latihan kerana tempoh yang tinggal hanya sebulan sahaja lagi.

“Kebenaran untuk bermain dalam aksi persahabatan juga bagi saya sesuatu yang baik bagi memastikan semua 25 pemain dalam pasukan mampu bersedia dan mendapatkan kecergasan yang diperlukan dalam perlawanan kompetitif.

“Mungkin satu atau dua perlawanan persahabatan sudah mencukupi sebelum hadapi aksi pertama liga kerana apa yang mustahak sebenarnya bagaimana kita boleh menangkap dengan segera taktikal yang dimahukan jurulatih pada sesi latihan,” kata Brendan Gan.

Pemain berdarah kacukan itu juga berpandangan jadual liga yang lebih ketat sebagai bukan satu masalah besar kerana situasi itu tidak berbeza jika saingan Piala FA turut dimainkan pada saingan musim-musim sebelum ini.

“Bukan sesuatu yang menakutkan atau bimbang untuk bermain dua kali seminggu membabitkan aksi pada pertengahan minggu kerana situasi ini sebenarnya bukan asing kepada majoriti pemain.

“Sebelum ini, jika ada aksi Piala FA pada musim yang biasa, saya telah berdepan situasi sebegini apabila terpaksa menempuh jadual yang ketat dan saya sentiasa seorang positif menerima apa jua keadaan,” kata Brendan Gan.

Malaysian Football League (MFL) sebelum ini mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Brendan juga gembira kerana Liga Malaysia yang bermula lebih awal membuka sedikit ruang kepada pasukan kebangsaan mengadakan latihan lebih awal sebelum berdepan Bahrain pada 2 Oktober.

“Saya gembira buat jurulatih, Tan Cheng Hoe, kerana pemain-pemain nanti mendapat ruang berlatih lebih lama bagi hadapi dua perlawanan yang begitu penting kepada skuad kebangsaan iaitu berdepan UAE dan Vietnam.

“Semua orang kini di belakang di pasukan negara dan mereka mahu skuad ini mara sejauh mungkin, jadi saya rasa situasi ini sebagai sesuatu yang baik kerana turut memahami akan kepentingan skuad kebangsaan,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.