Mora Jelaskan Keyakinan Menurun Punca Arif Aiman Dikeluarkan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di sebalik Johor Darul Takzim melakar kemenangan penuh bergaya ke atas Selangor FC pada Jumaat lalu, pemain bintangnya Arif Aiman Hanapi dilihat sedikit kurang menyerlah.

Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia itu dilihat tidak dapat menterjemahkan prestasi terbaiknya berikutan pergerakannya dikawal rapat sepanjang perlawanan memaksa Benjamin Mora menggantikannya dengan Mohamadou Sumareh pada minit ke-80.

Mohamadou Sumareh hanya mengambil 10 minit untuk membalas kepercayaan apabila menanduk masuk jaringan kelima seterusnya memuktamadkan kemenangan 5-1.

Selepas perlawanan, Mora memberi penjelasan mengenai prestasi Arif Aiman dan sebab dia menggantikannya.

“Arif Aiman cuba beberapa kali untuk melepasi BJ (Fazly Mazlan) yang tidak memberi ruang untuk bergerak tapi ada ketika dia mampu melepasi kawalan pertahanan Selangor FC itu namun kita tidak boleh berharap Arif sentiasa beraksi cemerlang dan itu sudah kebiasaan.

“Dia diterjah dengan keras oleh pemain Selangor FC dan mengalami kecederaan selain dilayangkan kad kuning sebab itu keyakinan yang ada pada dirinya menurun dan gagal beraksi dengan baik malah saya bertindak menggantikannya untuk mengelak dia mengalami kecederaan yang lebih teruk,” kata Mora pada sidang media.

Mengenai kemenangan ke atas Red Giants, jurulatih dari Mexico itu berkata barisan pemain yang diturunkan serta taktikal yang diterapkan adalah selepas mengkaji dengan teliti cara permainan pasukan kendalian Michael Feichtenbeiner itu dan gembira ianya memberikan hasil yang hebat.

“Kami tahu perlu membuat persiapan rapi untuk berdepan Selangor FC tatkala mereka beraksi pada saingan liga menentang Sarawak United FC, baru-baru tapi kami hanya berlatih tanpa sebarang perlawanan kompetitif dan itu membezakan antara kami dan pasukan lawan.

“Apa yang pemain lakukan jelas mengikut perancangan taktikal dan kami memahami aksi menentang Selangor FC berintensiti tinggi dan setiap pemain juga diingat supaya tidak melakukan kesilapan mudah kerana pasukan lawan bijak menghidu ruang dan peluang untuk mengambil kesempatan menghukum kami.

“Gol yang dijaringkan oleh Bergson (Da Silva), Fernando (Forestieri) dan Leandro Velazquez) begitu menakjubkan tatkala mereka pemain berkualiti yang memberi kelebihan buat JDT mengakhiri babak pertama dengan kedudukan selesa dan beri lebih keyakinan pada aksi itu,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.