Mourinho : ‘Saya simpati dengan Solskjaer, boleh bayangkan dia tidak akan tidur lena’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas membimbing pasukannya Tottenham Hotspurs melakar kemenangan bergaya 6-1 ke atas Manchester United pada Ahad, pengurus pasukan Jose Mourinho menyatakan rasa simpati dalam masa sama memberikan sokongan kepada rakan sejawatnya Ole Gunnar Solskjaer.

“Saya bersimpati dengan Ole kerana keputusan ini, saya tidak ingat jika pernah kalah dengan enam gol, tapi lima, empat itu pernah dan saya tahu bagaimana peritnya perasaan itu. Tapi sudah tentu, saya mahu menang, dan sudah tentu saya mahu menang dengan tujuh (gol), bukan enam. Jangan salah faham.

“Saya tahu ia cukup-cukup penting untuk mengawal kelakuan dan menunjukkan rasa simpati kepada lawan pada situasi ini, memang saya bersimpati, hari ini hari dia, mungkin esok hari saya, jadi saya kasihan tengok dia.

“Saya boleh bayangkan dia tidak akan dapat tidur lena, terganggu setiap malam dengan keputusan ini tapi ini saat sukar yang perlu ditempuhi,” ujar Jose Mourinho.

Kekalahan mengaibkan itu menambah tekanan ke atas Solskjaer yang sememangnya sudah sedia dipertikai kredibilitinya, namun Jose Mourinho berpendapat Solskjaer tetap perlu diberi kredit kerana secara keseluruhan Red Devils semakin menunjukkan peningkatan di bawahnya.

“Apabila saya lihat ke dalam pasukan ini, ada evolusi. Ia bukanlah seperti Ole datang dan pasukan langsung tidak meningkat. Pasukan menunjukkan peningkatan, mereka ada pemain yang bagus, sangat-sangat bagus dan dia juga membeli ramai pemain muda.

“Saya dengar Edinson (Cavani) akan menyertai mereka, jika benar dia adalah seorang pemain berkelas dunia.

“Manchester United adalah Manchester United, kekalahan ini tidak akan menghancurkan mereka. Saya boleh bayangkan mereka akan bangkit bertindakbalas sepertimana Manchester United yang saya selalu saksikan.

“Jadi saya bersimpati dengan keputusan ini, selain daripada itu tiada simpati kerana dia mengharungi tugasan yang cemerlang dan nampak seperti pemain semua sukakannya, mereka sentiasa bersama dia. Mereka akan bertindakbalas dan tidak akan menghampakan dia.”

Sumber : Mourinho insists 6-1 humiliation will not destroy Solksjaer and Manchester United 

Mengulas mengenai reaksi keterlaluan Erik Lamela sehingga menyebabkan Anthony Martial dilayangkan kad merah, Jose Mourinho berkata dia tidak melihat insiden itu tetapi menegaskan United bernasib baik untuk tidak kehilangan dua lagi pemain.

“Mereka mungkin menamatkan aksi dengan lapan pemain, saya boleh kata sedemikian kerana beberapa insiden berlaku tidak jauh dari saya dan di depan mata.

“Tapi saya bersetuju dengan pengadil (Anthony Taylor) kerana tidak melayangkan tambahan kad merah, jika tidak ia akan menjadi tragedi lebih buruk kepada mereka.

“Sebagai contoh insiden membabitkan Luke Shaw (mengasari Lucas Moura di dalam kotak penalti), Paul Pogba, itu hanya sedikit, selebihnya saya tak tahu.

“Apa yang saya tahu kami menang kerana kami dominasi perlawanan, dan bermain dengan penuh yakin, itu adalah sebab utama.”

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.