MPFL 2021 : Selangor Mac, Pahang Rangers ‘dijodohkan’ dalam kumpulan maut

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Juara dan naib juara edisi sulung Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Selangor Mac dan Pahang Rangers FC dijodohkan dalam satu kumpulan bagi saingan musim baru yang akan berlangsung dari 12 Jun – 28 Ogos depan.

Kedua-dua pasukan akan bersaing dalam Kumpulan B yang dianggap ‘kumpulan maut’ dengan adanya beberapa lagi pasukan tumpuan seperti Sabah, Melaka, Pulau Pinang. Kuala Lumpur dan KL City.

Melengkapkan Kumpulan B adalah tiga pendatang baru iaitu Sarawak United, Kelantan FC dan PDRM FC.

Manakala Kumpulan A pula terdiri daripada Terengganu, Perak, KPT-PST Mustangs, Sarawak, ATM, Shah Alam City, Kelantan United, Negeri Sembilan, Selangor TOT United dan Kedah.

Saingan musim baru MPFL dibahagikan kepada dua kumpulan selepas mendapat penyertaan menggalakkan daripada 20 pasukan, berbanding hanya sembilan pada 2019.

Selangor Mac muncul juara MPFL 2019 selepas bersaing sengit dengan Pahang Rangers FC yang dibarisi tujuh pemain kebangsaan termasuk Khairul Effendy Bahrin, Abu Haniffa Hasan, Saiful Nizam Md Ali dan Azwann Ismail.

Musim ini Azwann telah berhijrah ke Selangor Mac tatkala Pahang Rangers mempunyai tambahan tiga lagi pemain kebangsaan berbanding skuad 2019 iaitu Ridzwan Bakri, Awalluddin Mat Nawi dan Farikh Khabibor Rahman.

Sementara itu, aksi kategori wanita pula akan menyaksikan 12 pasukan berentap dari 12 – 22 Ogos.

Perak SSCJ, Kuala Lumpur Prefer FC, PDRM FC, Sarawak, Selangor MBPJ FC dan Pahang Rangers FC diundi dalam Kumpulan A.

Manakala Sabah, Selangor MBSJ FC, Melaka, FC Langkawi, Kuala Lumpur dan KPTM Bangi pula akan bersaing dalam Kumpulan B.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata badan induk itu telah menjalankan saringan dokumen terperinci sebelum meluluskan permohonan kesemua 32 pasukan untuk beraksi.

“Menerusi proses saringan ini FAM berpeluang untuk memperkenalkan struktur sukan futsal dan juga mendidik pasukan-pasukan ini mengenai pengurusan dan pentadbiran pasukan futsal di peringkat kebangsaan,” katanya yang juga Naib Presiden FAM selepas majlis undian MPFL 2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

FAM turut mengumumkan Cuckoo sebagai penaja utama MPFL 2021, selain beberapa penaja sedia ada yang meneruskan kerjasama musim ini.

Taklimat pasukan MPFL dijalankan pada 27 April lalu secara dalam talian, dan sesi tersebut membincangkan tentang garis panduan serta maklumat berkaitan pengadilan, peraturan serta protokol operasi pertandingan dan lain-lain perkara.

Sebagai rekod, MPFL diperkenalkan pada 2019 sebagai menggantikan Liga Futsal Kebangsaan.

Bagaimanapun, edisi kedua MPFL tahun lalu ditangguhkan sebelum dibatalkan ekoran pandemik COVID-19.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.