“Saya tiada kena mengena dengan isu ini,” demikian tegas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika menafikan dakwaan bahawa beliau yang mengarahkan pegawainya membuat laporan polis terhadap pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.
“Saya kesal dengan tularan yang meluas di media sosial yang mengaitkan saya dan Pejabat Menteri Besar Kedah dengan tohmahan bahawa Ustaz Ebit telah disoalsiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman susulan laporan yang difailkan oleh seorang pegawai saya.
“Siasatan dalaman mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun politik yang membuat laporan polis termasuk atas kapasiti peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mukhriz, dakwaan serta tohmahan berhubung perkara itu mencemarkan nama dan jawatan yang disandangnya serta pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
Sebagai makluman, Ebit menghulurkan bantuan berupa pelbagai peralatan dan makanan kepada barisan hadapan selain membantu mereka yang terputus pendapatan sepanjang PKP dilaksanakan.
Namun menerusi laman Facebooknya, dia memaklumkan bahawa tidak lagi akan membantu golongan miskin secara langsung dalam tempoh PKP selepas dipanggil ke Bukit Aman di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat beberapa pihak yang meragui bantuan dihulurkannya, terutama kepada keluarga yang tinggal di sebuah rumah daif di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, Alor Setar.
Foto : NSTP