“Mungkin juga Liga Super halatuju seterusnya skuad Projek FAM-MSN”, ujar Kim Swee

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kritikan demi kritikan yang disasarkan kepada Skuad Projek FAM-MSN tidak akan dijadikan alasan untuk menarik pasukan itu keluar dari saingan Liga Premier 2021.

Malah idea untuk membubarkan pasukan dibarisi pemain-pemain mentah pengalaman berusia 17 – 19 tahun itu langsung tiada dalam perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dan dianggap tidak masuk akal.

Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee menegaskan adalah penting pembabitan pasukan itu dalam Liga Premier diteruskan walaupun ramai yang beranggapan ia bukan platform pendedahan terbaik buat mereka, lebih-lebih lagi apabila sentiasa menjadi mangsa belasahan dan digelar lubuk tiga mata.

Bagi Kim Swee biar apa orang kata, matlamat utama penubuhan pasukan bukanlah untuk mendapat keputusan segera, tetapi demi kelangsungan pembangunan bolasepak negara.

“Memang rancang hendak kekalkan, projek ini saya rasa takkan bubar tapi perlu difikirkan hala tuju projek ini bagaimana supaya ia tidak sia-sia begitu sahaja, mungkin main dalam Liga Super selepas ini,” ujar Kim Swee dilaporkan Bernama.

“Kita tidak boleh ada program (pembangunan) setahun dan bubar, ini program remaja, tidak masuk akal (dibubarkan). Memang moral pemain agak negatif selepas mengalami kekalahan demi kekalahan, namun kita perlu beri bimbingan dan pendedahan.

“Kita mahu mendedahkan mereka dalam saingan kompetitif, orang ramai perlu faham matlamat utama Skuad Projek FAM-MSN ini adalah pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024, jadi berikan mereka peluang untuk mencipta impak.

“Pada akhirnya jika dapat dua atau tiga pemain yang terpilih (ke dalam skuad kelayakan Olimpik 2024) pun sudah cukup baik daripada tiada apa-apa langsung. Pasukan lain tentu sasar layak ke Liga Super, namun tidak bagi kami buat masa sekarang,” katanya sambil menyatakan keyakinan skuad kendalian Yusri Che Lah boleh bangkit mencipta kejutan dalam baki saingan.

Sebagai rekod, setelah beraksi sembilan perlawanan, skuad projek FAM-MSN mencatat lapan kekalahan dan satu seri, menduduki tangga tercorot Liga Premier dengan satu mata. Satu-satunya keputusan seri yang mereka catat itu adalah menentang Kuching City FC.

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim antara yang lantang menegur pembabitan pasukan ini dalam liga divisyen dua bolasepak tempatan itu dengan menyatakan ia bukan cara yang betul untuk pembangunan pemain.

Foto : Sportflex Malaysia

 

 

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.