Mungkinkah kali ini rezeki Azam Azih setelah kecewa tiga kali sebelum ini?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tonggak tengah Pahang, Nor Azam Azih bersyukur apabila namanya menjadi pilihan untuk dicalonkan dalam kategori Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan Virtual 2020 dan menganggap ia adalah satu pengiktirafan yang cukup bermakna.

Ini adalah kali keempat berturut-turut pemain itu tercalon dan dia mengakui bukan mudah untuk dinobatkan sebagai pemenang meskipun menyimpan keinginan untuk bergelar Pemain Tengah Terbaik Liga Malaysia buat kali pertama.

“Saya sudah empat kali tercalon dalam kategori ini termasuk tahun ini tetapi masih tiada rezeki untuk menang dan saya pun tidak boleh nak jangka siapa yang mungkin akan menang kerana sembilan lagi calon lain yang ada bukan calang-calang.

“Kalau nak ikutkan, tahun ini agak hambar sikit untuk pencapaian peribadi saya jika nak dibandingkan dengan prestasi tahun lepas, jadi kita tengoklah siapa yang paling layak untuk menang anugerah itu nanti.

“Bagi saya, Safawi Rasid (JDT) dan Afiq Fazail (JDT) antara yang mungkin akan cipta kejutan dan tidak mustahil mereka akan menjadi pilihan kegemaran untuk mengungguli kategori itu”, kata Azam Azih yang juga pemain kebangsaan.

Selain Nor Azam Azih, Safawi Rasid dan Afiq Fazail, tujuh lagi calon untuk kategori Pemain Tengah Terbaik adalah Brendan Gan (Selangor), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (TFC), Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor).

Sementara itu, bagi Safawi Rasid, dia menghargai usaha Malaysian Football League (MFL) menganjurkan ABK 20 Virtual yang dianggap sebagai pemangkin semangat buat pemain-pemain selepas mengharungi musim sukar gara-gara penularan pandemik COVID-19.

Pemain berusia 22 tahun itu merupakan pemenang kategori Pemain Muda Harapan 2018, Pemain Tengah Terbaik 2018, Penyerang Terbaik 2019 dan Pemain Paling Popular 2019 serta berjaya mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut tahun lalu.

Jelas Safawi, dia berpuas hati dengan prestasinya bersama pasukan dengan meledak 7 gol secara keseluruhan pada musim ini dalam saingan CIMB Liga Super sebelum berhijrah ke kelab Portimonense SC, Oktober lalu selain menyifatkan trofi yang pernah dimenanginya dalam anugerah berprestij itu sentiasa memberi motivasi kepadanya untuk berada di tahap terbaik setiap musim.

“Semestinya saya gembira apabila dapat tercalon, dan kali ini saya sedar calon-calon lain juga tidak kurang hebatnya untuk merebut trofi itu.

“Untuk saya sendiri, memang kalau boleh saya nak menang lagi sekali dan kalau menang, ini bermakna sudah tiga tahun berturut-turut saya meraih trofi dalam ABK (lain-lain kategori) dan itu yang membuatkan saya ingin terus berusaha untuk sentiasa melakukan yang terbaik setiap tahun.

“Secara keseluruhannya, memang saya berpuas hati dengan prestasi saya dan juga pasukan sebab walaupun dengan COVID-19 menghalang kita beraksi untuk satu musim penuh, tetapi Alhamdulillah kita semua dapat harunginya bersama dan saya sendiri berjaya untuk sekurang-kurangnya meledak tujuh gol peribadi pada musim ini”, jelasnya.

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin (21 Disember 2020) jam 10 pagi dan akan berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Penyokong boleh membuat undian dengan melayari bit.ly/ABK20Fans.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.